LAGU duet terbaharu Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama bintang dangdut Indonesia, Lesti Kejora berjudul Kumbang Bunga mencipta kejayaan tersendiri apabila menduduki carta trending YouTube di tiga negara serantau.
Lagu tersebut kini berada di tangga ke-16 YouTube Malaysia, keempat di Indonesia dan ke-31 di Singapura dalam tempoh kurang 24 jam dilancarkan.
Kumbang Bunga yang cipta oleh Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh itu merupakan single pertama daripada album terbaharu Siti yang melambangkan persahabatan serta keharmonian dua negara serumpun yang disatukan melalui bahasa muzik.

Lagu Kumbang Bunga kini berada di tangga ke-16 YouTube Malaysia.
Menariknya lagu itu menggabungkan tiga irama utama iaitu inang, dangdut serta digarap dalam kontemporari tradisional.
Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 49, berkata dia tertarik dengan melodi Kumbang Bunga sebaik pertama kali mendengarnya dan mencadangkan agar elemen dangdut yang sinonim dengan latar muzik Lesti turut dimasukkan ke dalam gubahan lagu itu.
"Saya gembira kerana hasrat untuk berduet dengan Lesti sudah lama dirancang dan inilah waktu yang tepat apabila saya tampil dengan single serta album berkonsepkan tradisional,” katanya.
ARTIKELBERKAITAN: Siti Nurhaliza kekal penyanyi nombor 1 Malaysia, diangkat Legenda Muzik Asia Tenggara
ARTIKEL BERKAITAN: Lesti Kejora hamil anak ketiga, hormon tak stabil sampai muka berjerawat
Menurut Siti, beliau percaya muzik mempunyai kekuatan luar biasa untuk menyatukan manusia tanpa mengira bahasa, budaya dan sempadan.
“Menerusi Kumbang Bunga, saya berharap lagu ini bukan sahaja diterima baik di Malaysia dan Indonesia tetapi turut mendapat tempat di hati peminat kami di negara lain,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Lesti pula menyifatkan muzik sebagai medium yang mampu menyatukan dan menghargai perbezaan dengan penuh hormat.

Lesti (kiri) dan Siti teruja dapat berkerjasama.
“Saya berterima kasih kepada Siti Nurhaliza kerana mengundang saya berduet dalam lagu yang sangat indah ini. Para peminat kami sudah lama mendambakan kolaborasi ini dan akhirnya menjadi kenyataan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Firdaus Rahmat selaku komposer dan penulis lagu menjelaskan bahawa proses penciptaan Kumbang Bunga mengambil masa kira-kira dua hari untuk disiapkan.
“Lagu ini memang saya gubah khas untuk Siti dan Lesti kerana saya ingin menonjolkan keindahan vokal mereka dalam nuansa irama tradisional yang moden dan segar,” kongsinya.
Kumbang Bunga yang diterbitkan oleh SN Legacy Sdn. Bhd., Trinity Optima Production dan Universal Music Sdn. Bhd. boleh didapati di semua pelantar digital.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


