PELAKON Datuk Aaron Aziz mengaku hatinya tidak tenang memikirkan keadaan anak perempuannya, Dwi Ariana selepas berdepan saman RM2 juta difailkan personaliti media sosial, Sharina Richie.
Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz, 49, berkata dia tidak menolak kemungkinan anak gadisnya itu menyembunyikan perasaan sebenar kerana enggan membebankan keluarga.
Sebagai bapa, Aaron tetap bimbang walaupun anaknya kini melanjutkan pelajaran di University of Surrey, England, United Kingdom.

Sharina (kanan) mengemukakan saman terhadap anak gadis Aaron.
“Susah nak cakap sebab kami jarang berjumpa kerana duduk jauh. Bila berbual melalui telefon, dia nampak gembira, tapi kita tak tahu apa yang dia rasa sebenarnya.
“Baru-baru ini dia ada mesej saya, luahkan rasa rindu,” katanya kepada mStar.
Aaron berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis tayangan filem Banduan yang berlangsung di Penjara Kajang pada Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN: Aaron Aziz terkejut anak jadi sasaran, Sharina Richie tuntut saman fitnah RM2 juta
ARTIKEL BERKAITAN: [V] “Total damage” - Aaron Aziz tidak akan berbaik dengan Sharina Richie, keluarga dan kerjaya juga terjejas
Walau bagaimanapun, Aaron yakin anak keduanya itu mampu menghadapi situasi tersebut dengan tenang merupakan pelajar jurusan psikologi.
"Saya rasa dia sudah dewasa. Lagipun dia mengambil jurusan psikologi, jadi semua ini bukan masalah besar," katanya lagi.
Sementara itu, Aaron menyerahkan sepenuhnya kepada pihak peguam berhubung kes saman melibatkan anak perempuannya itu.
Baru-baru ini dia ada mesej saya, luahkan rasa rindu
DATUK AARON AZIZ
PELAKON
"Saya rasa tidak banyak yang boleh dikongsikan. Kita tengok dulu bila sudah masuk ke mahkamah nanti, baru boleh kongsi.
"Buat masa sekarang semuanya masih dalam peringkat saman menyaman. Biarkan mereka buat kerja, bila tiba masanya (naik mahkamah) baru kita tahu keputusannya," luahnya.
Sebelum ini, Aaron meluahkan rasa terkejut selepas menerima surat tuntutan (LOD) daripada pempengaruh media sosial itu yang didakwa mahu menyaman anak perempuannya.
Aaron bagaimanapun percaya anaknya itu tidak melakukan sebarang kesalahan berat sehingga perlu diheret ke mahkamah.

Aaron dan isteri terkejut nama anak menjadi sasaran.
Terdahulu, konflik antara keluarga Aaron dan Sharina mula tercetus susulan penularan sebuah video yang memaparkan kenyataan berbaur sensitif.
Video tersebut menyaksikan Sharina mengecam tindakan Aaron berkaitan isu Palestin, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen.
Bagaimanapun, Sharina telah memadam hantaran tersebut dan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Aaron.
Namun Sharina tetap menerima kritikan hebat di media sosial, termasuk dakwaan menjadi sasaran serangan peribadi daripada sesetengah pihak.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


