SUSULAN notis tuntutan saman sebanyak RM2 juta daripada pempengaruh media sosial, Sharina Richie, pelakon Datuk Aaron Aziz meluahkan rasa kecewa apabila tindakan tersebut melibatkan anak perempuannya, Dwi Ariana.
Aaron atau Aaron Mustapha Aziz, 49, berkata, dia tidak menyangka konflik yang pada awalnya boleh diselesaikan secara baik kini berlarutan hingga ke peringkat undang-undang.
“Kalau dia (Sharina) tak hantar saman pada anak saya, mungkin saya akan maafkan dia.

Aaron dan Diyana tidak mampu lihat anak-anak mereka tertekan.
“Tapi dia pilih jalan ini, ruang untuk berbaik itu sudah tiada. Sakit luka, tulang patah boleh dirawat, tapi bila mental kita sakit ia sukar untuk diubati,” katanya kepada mStar.
Bercerita lanjut, Aaron mengakui isu tersebut memberi kesan besar terhadap kehidupan peribadi keluarganya.
Malah kerjayanya juga turut terjejas apabila ada menerima banyak kecaman termasuk hilang kepercayaan orang ramai.
“Total damage… Kerjaya saya terjejas disebabkan isu ini.
“Dua orang anak saya yang sedang belajar di luar negara hadapi tekanan dengan isu ini dan kalau berlaku sesuatu pada mereka, siapa yang nak bertanggungjawab?
ARTIKEL BERKAITAN: Aaron Aziz ambil tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah
ARTIKEL BERKAITAN: Aaron Aziz perjelas salah faham isu Gaza, minta netizen tonton video temu bual penuh
“Ini belum lagi daripada pihak kami tunjuk bukti pelbagai komen negatif yang sangat teruk fasal isteri dan anak-anak. Saya tak sanggup lihat mereka alami anxiety atau depresi,” ujarnya.
Sementara itu, isteri kepada Aaron, Datin Diyana Halik, memberitahu, mereka masih belum menerima sebarang panggilan atau usaha untuk berdamai daripada pihak Sharina.
Bagaimanapun, jelas Diyana, ramai netizen tampil memohon maaf atas keterlanjuran kata terhadap mereka sekeluarga.
“Pihak sana tidak ada hubungi atau usaha cari kami, saya tak terima sebarang panggilan daripada pihak dia.

Sharina hantar notis tuntutan sebanyak RM2 juta terhadap Dwi Ariana.
“Tapi netizen yang minta maaf sebab terlanjur kata banyak sangat,” jelasnya.
Sebelum ini, konflik antara keluarga Aaron dan Sharina tercetus selepas pempengaruh itu memuat naik video berbaur sensitif yang dikatakan menyinggung isu berkaitan Palestin.
Walaupun Sharina sudah memadam hantaran tersebut dan membuat permohonan maaf secara terbuka, tindakan lanjut diambil selepas nama anak mereka turut disebut secara terbuka di media sosial.
Menurut Aaron, mereka kini menyerahkan sepenuhnya urusan undang-undang kepada peguam yang mewakili keluarga mereka bagi tindakan selanjutnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


