ANAK kepada pelakon Datuk Aaron Aziz iaitu Dwi Ariana tampil membela diri susulan tindakan pempengaruh media sosial, Sharina Richie, yang mahu menyamannya sebanyak RM2 juta.
Dwi Ariana, 19, menjelaskan bahawa dia hanya menghantar mesej yang meminta Sharina menunjukkan rasa simpati dengan memadam video yang mencetuskan kekecohan, sekali gus menafikan dakwaan dirinya membuli pempengaruh tersebut.
"Tangkapan skrin di bawah adalah apa yang saya hantar minggu lepas dan satu-satunya perkara yang saya mesejkan kepada dia. Tiada ugutan, tiada pembulian.

Ariana tampil membela dirinya.
"Saya hanya cuba menerangkan secara beradab tentang kerosakan yang dia lakukan kepada ayah saya dan cuba meraih simpati dia untuk adik perempuan saya yang berumur 15 tahun supaya video itu dipadamkan," katanya.
Ariana berkongsi perkara tersebut menerusi satu hantaran di akaun Thread miliknya pada Jumaat.
Dalam hantaran itu, dia turut memaparkan tangkap layar mesej yang dihantar kepada Sharina sebagai bukti.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] “Total damage” - Aaron Aziz tidak akan berbaik dengan Sharina Richie, keluarga dan kerjaya juga terjejas
ARTIKEL BERKAITAN: Aaron Aziz terkejut anak jadi sasaran, Sharina Richie tuntut saman fitnah RM2 juta
Menurutnya, tindakan untuk mendedahkan mesej itu kepada umum hanya dibuat selepas Sharina tidak memberi sebarang maklum balas.
"Hanya apabila dia tidak membalas mesej saya, barulah saya memilih untuk memuat naiknya secara terbuka.
"Saya mungkin berumur 19 tahun, tetapi sebagai seseorang yang berpendidikan dan sedang melanjutkan pengajian dalam bidang psikologi, saya tahu lebih baik daripada menjadi pembuli," luahnya.
Saya hanya cuba menerangkan secara beradab.
DWI ARIANA
ANAK AARON AZIZ
Sebelum ini, pelakon Aaron Aziz meluahkan rasa terkejut selepas menerima surat tuntutan (LOD) daripada pempengaruh media sosial itu yang didakwa mahu menyaman anak perempuannya.
Kata Aaron atau Aaron Mustapha Aziz, 49, surat itu diterima pada pagi Khamis dan mendakwa anaknya langsung tidak melakukan sebarang kesalahan berat sehingga perlu diheret ke mahkamah.
Terdahulu, konflik antara keluarga Aaron dan Sharina mula tercetus susulan penularan sebuah video yang memaparkan kenyataan berbaur sensitif.

Konflik antara keluarga Aaron dan Sharina semakin rumit.
Video tersebut menyaksikan Sharina mengecam tindakan Aaron berkaitan isu Palestin, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen.
Bagaimanapun, Sharina telah memadam hantaran tersebut dan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Aaron.
Namun Sharina tetap menerima kritikan hebat di media sosial, termasuk dakwaan menjadi sasaran serangan peribadi daripada sesetengah pihak.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


