PELAKON Linda Hashim tampil memberi respons berhubung isu tiada pemfailan pengesahan taklik dalam kes perceraiannya bersama suami, aktor Beego.
Secara ringkas, Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 41, seakan-akan menafikan kenyataan yang dikeluarkan oleh Beego pada Rabu dengan memberi bayangan bahawa ia tidak benar.
Tanpa sebarang kenyataan panjang, dia hanya memuat naik emoji ‘stop cheating’ yang membawa maksud hentikan penipuan.
Linda berkongsi perkara itu dalam satu hantaran di InstaStory miliknya pada Khamis.

Perkongsian Linda di Instagram.
Prosiding perceraian pasangan ini di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada Rabu terpaksa ditangguhkan selepas tiada pemfailan pengesahan taklik dibuat seperti yang diminta oleh mahkamah.
Beego ketika ditemui media berkata, dia sudah menjangkakan pihak Linda akan menggunakan isu taklik sebagai hujah di mahkamah.
“Jadi, saya buat taklik itu, tapi saya dah tahu mungkin ia akan digunakan dalam mahkamah. Saya buat taklik yang ‘selamat’. Saya cakap, kalau kamu balik semula jadi isteri taat, baik, setia, taklik itu bermula di situ.
“Jadi, dia tak balik setahun dan benda itu tak sah. Jadi, lafaznya hanya lafaz biasa,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Linda Hashim masih belum fail pengesahan taklik, mahkamah tetapkan 16 Disember sebutan semula kes cerai
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Beego nafi pergi kelab malam, dakwa video berjoget dirakam pada majlis hari jadi rakan
Sebelum ini, kemelut rumah tangga mereka menemui jalan buntu apabila proses laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) tidak mencapai persetujuan.
Ia berikutan laporan JKP yang ditulis oleh pegawai mendapati terdapat taklik yang dilanggar.
Susulan itu, hakim meminta peguam yang mewakili Linda membuka fail baharu berkaitan pengesahan taklik selepas terdapat laporan mengenai perkara tersebut.
Untuk rekod, Linda memfailkan perceraian terhadap Beego pada awal Januari lalu dengan alasan tiada persefahaman.

Kes perceraian Beego dan Linda masih belum selesai.
Pasangan itu sebelum ini pernah bercerai talak satu pada 27 Mac 2023 sebelum kembali rujuk pada 9 April 2023.
Linda bagaimanapun mendakwa mereka kemudiannya bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan rujuk, namun kembali bersama tidak lama selepas itu.
Beego dan Linda mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6 tahun.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


