ISU bayaran artis sering menjadi topik hangat apabila ada yang mendakwa golongan selebriti terlalu 'demand' dalam meletakkan harga untuk sesuatu persembahan atau kerjasama.
Namun bagi ahli kumpulan Floor 88, Eric Fuzi, perkara itu bukan sekadar soal harga, tetapi melibatkan profesionalisme dan tanggungjawab menjaga ekosistem industri hiburan tempatan.
Jelas Eric atau Muhamed Eric Muhamed Fuzi, 33, isu bayaran tidak boleh dipandang ringan kerana ia mencerminkan nilai dan standard dalam dunia seni.

Eric minta artis jaga ekosistem harga bayaran industri hiburan sebaiknya.
“Isu bayaran ini kita bukan sebab artis itu demand, tapi kena lihat dari sudut profesionalisme.
"Sebagai selebriti, kita jaga industri kita. Ramai bising bayaran tak setimpal, jadi siapa nak jaga kalau bukan selebriti sendiri,” katanya kepada mStar.
Menurut Eric, jika ada artis yang sanggup menurunkan harga semata-mata untuk mendapatkan tawaran kerja, tindakan itu secara tidak langsung menunjukkan sikap mementingkan diri sendiri.
Tambah Eric tindakan itu sebenarnya boleh memberi kesan negatif kepada industri hiburan secara keseluruhan.
ARTIKEL BERKAITAN:Foto hitam putih nak buat peminjam rasa bersalah, 2 tahun Eric Fuzi tagih hutang puluhan ribu ringgit
ARTIKEL BERKAITAN:Ego punca hubungan berakhir, Eric Fuzi belum sedia cari pengganti... Takut kisah lama berulang
“Kalau ada artis yang buang harga sebab nak dapat kerja, maknanya dia pentingkan diri sendiri.
"Dia tak jaga ekosistem selebriti yang bekerja. Jadi, kena jaga rate dan standard bukan kerana demand, tapi sebab menghormati nilai kerja seni,” ujarnya.
Berkongsi lanjut, Eric turut mendedahkan mereka pernah menerima tawaran yang dianggap tidak masuk akal, namun tetap menanganinya dengan cara profesional.

Floor 88 pernah dapat tawaran kerja dengan harga tak masuk akal.
Katanya lagi, sebagai penggiat seni yang menjadikan muzik sebagai kerjaya, aspek bayaran wajar ditetapkan pada kadar berpatutan memandangkan ia melibatkan masa, tenaga serta ilmu yang dipelajari.
“Pernah juga dapat tawaran tak masuk akal, tapi taklah kami tolak mentah-mentah. Kena tapis dan tengok situasi juga.
“Kalau kerap berlaku pun rasa tak seronok. Benda ini ada standard. Orang belajar tinggi-tinggi untuk dibayar setimpal, itu yang kena jaga,” katanya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


