suria

Anuar Zain teruja pertama kali beraksi di Stadium Merdeka, lokasi penting dalam sejarah negara

Anuar teruja bakal beraksi buat pertama kali di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

PENYANYI Anuar Zain berkongsi rasa teruja apabila buat pertama kalinya bakal mengadakan persembahan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur menerusi konsert Healing Night 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 24 Januari depan. 

Menurut Anuar atau Shahrul Anuar Zain, 55, meskipun dia pernah tampil di pentas besar seperti Stadium Nasional Bukit Jalil semasa temasya SUKMA 1998 dengan kehadiran lebih 100,000 penonton, persembahan kali ini memiliki makna yang jauh lebih mendalam.

Kata Anuar, Stadium Merdeka bukan sekadar sebuah lokasi, tetapi merupakan lambang penting dalam sejarah negara yang wajar dihargai oleh semua lapisan masyarakat, terutamanya generasi muda.

Anuar mengakui masih gementar untuk membuat persembahan pentas.

"Saya tidak pernah buat konsert di Stadium Merdeka. Paling besar pun di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan lebih 100,000 penonton sewaktu SUKMA 98. 

"Itu sebab saya teruja dapat turut serta dalam konsert healing ini untuk buat persembahan di stadium paling bersejarah dan tinggi nilainya di negara kita. 

"Stadium Merdeka merupakan satu sejarah untuk kita semua. Orang patut tahu terutamanya generasi muda, stadium ini antara landmark kita yang sangat berharga untuk negara,” katanya kepada mStar. 

ARTIKEL BERKAITAN: Dikatakan menumpang nama Ziana, Anuar Zain hanya tersenyum terima sindiran

ARTIKEL BERKAITAN: Konsert keluarga pertama di Malaysia… Anuar, Ziana Zain, Ernie dan Syamel realisasikan impian peminat

Anuar berkongsi perkara itu menerusi sidang media Konsert Healing 2026 yang diadakan di Hotel St. Regis, Kuala Lumpur pada Selasa. 

Konsert tersebut turut menampilkan penyanyi Ella dan Dayang Nurfaizah selain dua lagi penyanyi Indonesia iaitu Lyodra dan kumpulan Kangen Band. 

Anuar bagaimanapun mengakui masih berasa gementar untuk membuat persembahan, namun kehadiran rakan-rakan seperjuangan memberi semangat dan keyakinan.

"Sudah tentu perasaan gementar itu masih ada. Tapi dengan Ella kami dah memang berkawan jadi ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan rasa gementar. 

Konsert Healing Nite 2026 bakal berlangsung pada 24 Januari depan.

"Sebenarnya sahabat-sahabat ini dapat mengurangkan gementar kita, Dayang pun kawan saya. Kalau sesiapa gementar, masing-masing ada untuk menenangkan. Itu yang paling penting," ujarnya.

Konsert Healing Night 2026 mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia atau MOTAC  sebagai inisiatif yang mampu memperkenalkan budaya serta keunikan seni di Malaysia.

Peminat boleh mendapatkan tiket menerusi laman web Ticket2u dengan harga bermula RM190 sehingga RM950.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain