SELEPAS kecoh tentang kisah rumah tangganya yang sedang bergolak, penyanyi Nubhan tampil menjawab setiap persoalan yang selama ini menjadi tanda tanya ramai.
Menjelaskan dakwaan isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek tidak tahu punca diceraikan, Nubhan atau Ahmad Nubhan Ahamad, 39, berkata kedua-duanya mengetahui apa yang berlaku sehingga menyebabkan tiada lagi persefahaman antara mereka.
"Berat sebenarnya tapi bukan semua orang nak perkara ini berlaku. Saya sudah lama fikirkan hal ini. Dia dakwa tidak tahu punca diceraikan, itu tidak mungkin.

Nubhan reda atas dugaan yang berlaku.
"Saya dah pernah berbincang perkara ini banyak kali. Saya juga dah berjumpa bapanya bercerita tentang masalah yang berlaku serta pernah bawa dia berjumpa pakar rumah tangga.
"Bila dia kata tidak tahu (punca diceraikan) itu adalah tak wajar. Saya pun tidak mahu cakap banyak kerana takut perkara yang tak baik keluar. Kami pernah tinggal bersama selama 10 tahun, jadi biarlah saya simpan semua kisah ini," katanya kepada mStar.
Nubhan ditemui ketika sidang media memperkenalkan peserta program Gegar Vaganza ke-12 (GV12) yang berlangsung di Kuala Lumpur pada malam Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Rupanya sudah dua kali Nubhan lafaz cerai, pernah rujuk selepas talak pertama pada 2017
ARTIKEL BERKAITAN: “Kami keluar makan malam, tiba-tiba Nubhan lafaz cerai” - Dr Afifah terkejut diuji kali kedua
Dalam masa sama, Nubhan enggan menjawab pertanyaan mengenai punca dia melafazkan cerai terhadap Dr Afifah di luar mahkamah pada 26 Ogos lalu.
Mengulas tentang kenyataan isteri yang seolah-olah mengharap ada jalan damai antara mereka, Nubhan menegaskan dia sebelum ini pernah berusaha mempertahankan rumah tangga.
Namun di sebalik kemelut yang melanda, penyanyi itu turut meluahkan rasa syukur atas dugaan yang dilalui dalam perkahwinannya itu.
Saya juga pernah bawa dia berjumpa pakar rumah tangga
NUBHAN
PENYANYI
"Saya cuba bertahan selama 10 tahun dan bukan tidak pernah cuba untuk perbaiki hubungan. Jadi saya tidak mahu komen tentang isu berbaik itu.
"Tempoh 10 tahun bukan sekejap. Memamg memikirkan soal anak antara sebab kami bertahan. Namun apa yang telah dilalui biarlah kami sahaja tahu.
"Saya juga ingin nyatakan saya bersyukur dengan apa yang berlaku. Selama menjadi suami saya tidak pernah culas terhadap tanggungjawab dan kasih sayang. Mungkin takdir dah tertulis sampai di sini sahaja," jelasnya.

Nubhan dan Dr Afifah ketika hadir di mahkamah bagi prosiding pengesahan lafaz cerai.
Nubhan sebelum ini memfailkan pengesahan lafaz cerai yang berlaku di luar mahkamah pada 26 Ogos lalu.
Lebih mengejutkan pasangan ini juga pernah bercerai pada 2017 sebelum kembali rujuk dalam tempoh idah dan tiada pengesahan lafaz cerai dibuat ketika itu.
Untuk rekod, Nubhan dan Dr Afifah mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille, 3 tahun.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


