SELEPAS dua dekad berkhidmat sebagai anggota polis, isteri kepada pelawak Mamat Sepah akhirnya mengambil keputusan untuk menamatkan kerjayanya dalam pasukan keselamatan itu.
Nordiana Ibrahim atau lebih mesra disapa Nana berkata, keputusan itu dibuat selepas dia berdepan dengan masalah anxiety selain kehilangan minat selepas kejadian ditahan bagi membantu siasatan dakwaan penyebaran maklumat dalaman berkaitan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di aplikasi Telegram pada tahun lalu.
"Saya dah kurang minat dengan kerjaya ini kerana sudah lama dalam pasukan dan macam-macam lagi yang saya lalui. Lebih buat saya tawar hati apabila kes saya kena tangkap dengan suami.

Mamat dan isteri sudah ada perancangan selepas ini.
"Saya juga ada masalah anxiety. Mungkin sebab terlalu penat, lebih-lebih lagi dengar masalah orang hingga buat saya tertekan," katanya kepada mStar.
Tambah Nana, kehidupannya kini lebih tenang dan gembira selepas tidak lagi terikat dengan tugasan serta tekanan kerja harian sebagai anggota polis.
"Saya sekarang lebih gembira kerana sudah tiada beban. Sebelum ini fikir kerja saja sekarang dah bebas Alhamdulillah," kongsinya.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Mamat Sepah dah terima RM20,000 selepas setahun beri muka, pelik rakan lain belum dapat baki bayaran
ARTIKEL BERKAITAN: Mamat Sepah dan isteri sudah ikhtiar, letak soal anak di tangan Allah
Sementara itu, suaminya, Mamat atau nama sebenarnya Mohd Noor Murad, 39, berkata dia sentiasa berasa bimbang apabila isterinya perlu bertugas pada waktu malam, terutamanya selepas beberapa insiden serangan di balai polis yang berlaku sebelum ini.
Menurut Mamat, walaupun pada awalnya berat hati untuk merelakan keputusan tersebut namun dia percaya sudah tiba masanya untuk isterinya berehat selepas berpuluh tahun berkhidmat.
"Dia sebenarnya dah lama minta nak bersara kira-kira tiga tahun lalu. Tapi saya kata sayang sebab impian saya nak jadi polis tapi tak dapat. Ada isteri polis pun okaylah.

Mamat sokong dengan keputusan isteri.
"Bagi saya ini waktu dia berehat kerana salah satu punca saya minta dia berhenti kerana tak sanggup tengok dia kerja malam.
"Bukan itu saja, ada kejadian balai polis diserang waktu malam itu pun jadi punca saya tak mahu dia kerja malam. Saya takut dan rasa tak adil dia kena kerja malam," luahnya.
Untuk rekod, Mamat dan Nana berkahwin pada 1 Mac 2020 di Kulai, Johor.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


