MEMAHAMI minat anak sejak kecil, penyampai radio Sharifah Shahirah memberitahu Auddra sudah lama menunjukkan kecenderungan terhadap bidang seni.
Shahirah atau lebih mesra disapa Shiera, 51, berkata Auddra seorang yang aktif dan sukar duduk diam, menyebabkan dia mudah hilang tumpuan ketika di sekolah.
Disebabkan perkara itu, dia tidak pernah menghalang Auddra, 16, untuk mengikuti jejak langkahnya namun sentiasa memantau setiap pilihan dibuat.

Auddra tunjuk minat pada bidang seni sejak kecil.
“Dia ini memang ‘hyper’. Kalau bab sekolah, saya tengok dia macam kurang minat dan jangan tak percaya, dia boleh tidur dalam kelas ya!
“Tapi kalau ada aktiviti sukan atau program sekolah dia terus semangat. Itu sebab saya rasa patut benarkan dia untuk ceburi bidang seni sebab nampak dia cenderung ke arah ini.
“Lagipun, sejak kecil lagi dia pernah cakap nak jadi macam saya” katanya kepada mStar.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Netizen ‘ship’ Auddra, Hadie... Anak Sharifah Shahirah balas dengan selamba!
ARTIKEL BERKAITAN: Sharifah Shahirah mahu Sakinah terus bahagia bersama suami dan sembilan anak tiri, tak ambil pusing reaksi netizen
Mengulas tentang populariti Auddra yang semakin meningkat selepas kemunculan dalam program Talk To My Manager (TTMM), Shiera mengaku anaknya menerima beberapa tawaran lakonan.
“Memang tak dinafikan ada banyak tawaran lakonan untuk Auddra setakat ini, tetapi saya tak ambil semua. Saya dah pernah jadi pelakon, jadi saya tahu susah senangnya. Sekarang bukan seperti dulu boleh dilenjan tanpa henti.
“Anak-anak generasi baharu ini kalau boleh memang kena ada had. Saya harap ada undang-undang yang jaga masa kerja budak-budak macam Auddra walaupun kita tahu mereka ini ada bakat dan minat,”luahnya.
Biar Auddra belajar dulu tentang disiplin dan cara kerja.
SHARIFAH SHAHIRAH
PENYAMPAI RADIO
Tambah Shiera, dia turut menekankan soal disiplin sebelum membenarkan anaknya terlibat sepenuhnya dalam dunia lakonan.
“Kalau ambil terlalu banyak episod, takut susahkan orang lain. Saya tak nak jadi punca masalah pada produksi. Biar Auddra belajar dulu tentang disiplin dan cara kerja, kemudian baru masuk dunia lakonan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Shiera memberitahu dia menggunakan kaedah memerhati dalam mendidik anak-anak kerana enggan terlalu memberi tekanan sehingga menjejaskan kesihatan mental.

Shiera tak mahu kaut semua tawaran.
"Apapun saya tetap kena pantau. Anak-anak ini, umpama main layang-layang, ada masa perlu lepas dan tarik.
“Kita tak boleh terlalu lepaskan sangat sebab dia masih budak. Kita takut kalau dia stres atau tekanan nanti. Mungkin nampak gembira depan orang, tapi kita tak tahu dalam hati dia macam mana," luahnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


