suria

Anak Ina Naim minta maaf, mohon henti komen negatif terhadap ibu

Hadie mohon maaf, minta netizen henti kecam ibunya.

ANAK kepada penyanyi Ina Naim iaitu Hadie tampil memohon maaf kerana tidak menjaga ibunya dengan lebih baik susulan isu tular membabitkan penampilan mereka dalam program Talk To My Manager (TTMM) yang disiarkan pada Ahad lalu.

Mengulas tindakan ibunya yang kelihatan terlalu emosional sepanjang program itu, Hadie menjelaskan ia bukanlah sesuatu yang disengajakan. 

Hadie tak mahu lihat ibunya sedih terima kecaman netizen.

Sebaliknya, kata Hadie itu adalah cara ibunya mengawal perasaan agar tidak menangis di hadapan khalayak.

"Baru-baru ini viral fasal ibu saya… saya minta maaf, mungkin saya tak jaga ibu saya ketika itu. Patutnya saya kena betul-betul ‘kunci’ ibu saya.

"Dia cuma nak saya semangat dan tetap dengan pendirian. Cara ibu, dia kena senyum dan banyak bercakap untuk tahan sebak," katanya.

Hadie berkongsi perkara itu ketika bersiaran langsung di akaun TikTok miliknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen dakwa ‘tak rileks’ terima teguran, Ina Naim akui kesilapan… Minta jangan kaitkan dengan kisah silam

ARTIKEL BERKAITAN: Hadie dah bersedia hadap kecaman sebagai penyanyi, ikut jejak arwah bapa gerak solo

Dalam masa sama, Hadie turut menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Ina sengaja mencuri perhatian dengan bertindak melampaui batas sebagai pengurus.

“Dia bukan buat sebab nak popular atau nak bantai atau potong juri. Dia buat untuk saya. Tiada ibu yang sanggup biar orang ‘tabuh’ anak dia depan-depan, jelasnya.

Hadie juga meluahkan rasa bimbang terhadap keadaan emosi ibunya yang dikatakan sering membaca komen-komen negatif di media sosial.

“Cukup-cukuplah komen negatif tu. Saya tak nak dia baca. Ibu selalu baca komen. Saya takut dia lemah semangat. Kalau dia menangis, saya pun jadi tak tentu arah.”

Hadie menafikan dakwaan ibunya cuba meraih publisiti.

“Saya berada di program tu pun sebab ibu. Terima kasih buat yang mendoakan yang baik-baik untuk kami," ujarnya.

Sebelum ini, tindakan Ina menjadi bualan hangat netizen apabila didakwa terlalu berlebihan dalam program realiti TTMM.

Bagaimanapun Ina berlapang dada menerima teguran tersebut sekali gus memohon maaf dengan keterlanjurannya itu. 

Katanya, dia percaya tindakan yang tidak disengajakan itu berlaku supaya dia dapat memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain