PENYANYI Datuk Seri Siti Nurhaliza turut bersimpati dengan pergolakan yang berlaku di Indonesia, lebih-lebih lagi apabila memikirkan dia mempunyai komitmen persembahan di Jakarta tidak lama lagi.
Menurut Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 46, hubungan akrab antara Malaysia dan Indonesia menjadi faktor dia turut terkesan dengan kesusahan yang menimpa negara jiran itu.
“Dengan suasana yang berlaku, saya sebagai anak seni yang diterima baik oleh masyarakat Indonesia, turut terkesan jugalah. Malaysia dengan Indonesia ni seperti adik-beradik.

Siti sentiasa dioakan kesejahteraan rakyat Indonesia.
“Kalau cubit peha kiri, peha kanan pun terasa juga,” katanya kepada mStar.
Siti berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media pengumuman hos, barisan penyampai, dan penghibur Anugerah Industri Muzik 24 (AIM 24) yang diadakan di Hotel Premiera, Kuala Lumpur pada Rabu.
Dalam pada itu, Siti turut menyeru semua pihak memberikan sokongan moral kepada masyarakat yang terkesan di Indonesia.
ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza tidak pilih kasih, teliti 50 karya untuk album tradisional
ARTIKEL BERKAITAN: Dengar suara Siti Nurhaliza terus bangkit daripada koma... Rupanya ini yang berlaku kepada pesakit koma
Tambahnya, dia sendiri menunjukkan solidariti menyertai gerakan dalam talian dibuat rakyat Malaysia bagi memberi bantuan makanan kepada masyarakat di sana.
“Kita bantu dari segi sokongan moral, kata-kata semangat. Macam apa yang orang Malaysia buat melalui pesanan makanan untuk ini pun, saya pun turut sama ikut,” ujarnya.
Ditanya tentang persediaannya ke Indonesia untuk penglibatan di festival muzik Pestapora pada 7 September ini, Siti menzahirkan harapan agar keadaan di sana akan kembali tenang supaya persembahan yang sudah lama dinantikan peminatnya itu dapat diteruskan.
Saya memang berdoa supaya keadaan kembali reda dalam waktu terdekat.
DATUK SERI SITI NURHALIZA
PENYANYI
“Sebenarnya saya ada persembahan untuk Pestapora pada 7 September. Saya masih melihat perkembangan dari semasa ke semasa.
“Saya memang berdoa supaya keadaan kembali reda dalam waktu terdekat ini supaya boleh ke sana membuat persembahan sebab memang sangat merindui peminat-peminat di Indonesia,” ujarnya.
Kekecohan di Indonesia berlaku susulan berlaku demonstrasi rakyat yang tidak berpuas hati dengan kerajaan negara itu.

Siti bakal terlibat dalam Latihan Pestapora di Indonesia pada September ini.
Lebih tegang lagi pada 28 Ogos lalu, seorang pemandu ojek iaitu Affan Kurniawan maut digilis kenderaan taktikal ‘Barracuda’ milik polis Indonesia ketika berlakunya demonstrasi penduduk di Bendungan Hilir, Jakarta.
Sebagai tanda solidariti, ramai dalam kalangan warga Malaysia menghulurkan bantuan makanan dengan membuat tempahan kepada pemandu ojek dalam talian (ojol) di Indonesia.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


