suria

Bantu orang susah lebih mudah bersama Peduli Radio

Menteri Komunikasi Malaysia, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (kiri) turut sokongan usaha inisiatif ini.

KESEDARAN terhadap kepentingan komunikasi semasa berlakunya bencana mencetuskan idea penubuhan Peduli Radio, sebuah platform siaran dalam talian yang memberi tumpuan kepada isu kebajikan dan kemasyarakatan.

Pengerusinya, Ishak Abdul Kadir berkata, Peduli Radio memfokuskan kepada penyampaian maklumat berkaitan misi bantuan bencana, aktiviti kebajikan serta pembangunan komuniti.

Katanya ia bukan sekadar medium penyampaian informasi namun menjadi jambatan kasih sayang antara rakyat dengan menzahirkan keprihatinan terhadap isu-isu kebajikan serta membuka ruang kepada golongan berkemampuan memberi bantuan.

Peduli Radio dirasmikan oleh Menteri Komunikasi Malaysia, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

“Peduli Radio mencerminkan semangat Malaysia Madani di mana nilai kepedulian, ihsan dan tanggungjawab sosial dijadikan teras utama. 

"Platform ini diyakini mampu menyebarkan mesej kebaikan, memperkukuh jaringan sukarelawan dan membina masyarakat yang lebih penyayang," katanya.

Ishak yang juga pengasas kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kebajikan Pertubuhan Bantuan Teknikal Insaf Malaysia berkata dia pernah bertugas sebagai salah seorang pasukan sukarelawan bagi bencana alam Tsunami di Acheh.

Pengalaman itu mengajarnya betapa pentingnya komunikasi dalam menyampaikan maklumat kepada orang awam dalam situasi kecemasan.

ARTIKEL BERKAITAN:Suria FM kembali unggul sebagai radio nombor tiga, catat 3.3 juta pendengar sepanjang 2024

ARTIKEL BERKAITAN: Anak penyampai radio terkenal diberi amaran kerana membuli, hanya ibu pelaku saja tampil mohon maaf melalui pihak sekolah

“Saya banyak belajar mengenai kebajikan dengan sahabat di Indonesia dan mereka sentiasa tekankan ‘peduli’. Kita kena sentiasa peduli dengan soal kebajikan semua orang. 

“Peduli Radio hanya akan memberi fokus kepada komuniti dan kebajikan agar masyarakat cakna dan tahu segala jenis sumbangan disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” tambahnya lagi.

Katanya, antara segmen yang menarik di Peduli Radio adalah segmen berorientasikan kebajikan seperti Segmen Inspirasi yang memfokuskan perkongsian kisah teladan dan motivasi daripada masyarakat. 

Selain itu, radio itu turut menyediakan segmen Kempen Peduli yang mengetengahkan inisiatif bantuan, kutipan derma dan program sukarelawan.

Peduli Radio menerima sokongan ramai.

“Apabila kita bersatu hati dan saling peduli, tiada siapa yang akan terpinggir. Peduli Radio adalah bukti  teknologi dan media boleh digabungkan dengan nilai kemanusiaan untuk manfaat seluruh rakyat,” ujarnya.

Baru-baru ini, Peduli Radio dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan di atas usaha menjayakan inisiatif ini.

Peduli Radio turut bersiaran melalui digital dan media sosial bagi memperluaskan capaian serta menarik lebih ramai pendengar bersama dalam usaha murni ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia