SAMBUTAN Ambang Hari Kebangsaan ke-68 malam tadi diserikan dengan program HTV Ambang Merdeka terbitan Unit Hiburan TV RTM yang bersiaran secara langsung dari Studio H1, Wisma TV, Angkasapuri, Kuala Lumpur
Bermula jam 11 malam di TV2, program berkenaan menampilkan pelbagai segmen menarik dan persembahan istimewa daripada barisan artis tempatan serta personaliti yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.
Tirai acara dibuka dengan persembahan penuh semangat oleh Nikki Palikat menerusi lagu patriotik Saya Anak Malaysia yang berjaya menaikkan aura kemerdekaan dalam kalangan penonton.

Program HTV Ambang Merdeka satukan berbilang bangsa. - Foto RTM
Segmen Zoom Sikit pula menampilkan gandingan penyanyi Moshark bersama Ikram Mirwana yang menyampaikan lagu terbaharu berjudul Merdeka.
Dalam segmen Borak Sekejap bertemakan Persada Dunia, penonton berpeluang mengikuti kisah kejayaan tiga figura yang mengharumkan nama negara.
Mereka ialah juara Mister Tourism World 2025, Asyraf Dasley; juara Miss Charm 2024,Rashmita Rasindran serta personaliti media sosial yang terkenal dengan fesyen tradisional, Pudds.
ARTIKEL BERKAITAN: “Orang Singapura selera Kelantan” - Atikah Suhaime jatuh cinta dengan nasi kerabu, budu
ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq nafi malas layan ‘pickup line’ Bella Astillah
Mereka berkongsi pengalaman masing-masing tentang bagaimana usaha dan identiti budaya mampu memperkenalkan Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Menjelang detik 12 tengah malam, segmen Skrin HTV menampilkan pelakon dan pengarah filem perpaduan berjudul Pejam.
Temu bual santai itu memberi peluang penonton memahami mesej penyatuan yang cuba diketengahkan menerusi karya tersebut.
Tepat jam 12 tengah malam, pengacara Nana Mahazan dan Akhmal Nazri mengetuai acara kira detik kemerdekaan bersama para tetamu yang hadir serta seluruh tenaga produksi yang bertugas.

Pengacaraan Nana Mahazan dan Akhmal Nazri meriahkan program HTV Ambang Merdeka. - Foto RTM
Program kemudian diteruskan dengan segmen Retro bersama penyanyi legenda Datuk Francisca Peter.
Beliau berkongsi pengalaman membawakan lagu patriotik malar segar Setia yang kekal relevan biarpun sudah lebih tiga dekad diperdengarkan setiap kali menjelang merdeka.
Sebagai penutup, Nikki Palikat sekali lagi menghiburkan penonton dengan lagu Malaysia Baru menandakan semangat baharu dalam mengisi erti kemerdekaan.
Program yang diterbitkan Rogby Faziana Mohd Puzi itu turut membawakan lintas langsung di beberapa lokasi yang meraikan sambutan Ambang Merdeka. Antaranya di Sarawak, Pahang dan Kuala Lumpur.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


