suria

Shaheizy Sam makin nampak potensi anak bongsu, tak halang kalau jadi pelakon

Sam tak halang anak jadi pelakon.

KEMANA tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi adalah peribahasa tepat menggambarkan bakat seni yang diwarisi oleh anak kepada pelakon Shaheizy Sam dan isterinya, Syatilla Melvin.

Antara yang paling mencuri perhatian ialah anak bongsu mereka, Salama Samheizy, 3, yang sering menghiburkan dengan gelagat mencuit hati serta menonjolkan bakat seni semula jadi. 

Menurut Sam, 42, Salama dilihat mempunyai kecenderungan lebih ketara terhadap bidang seni berbanding anak-anaknya yang lain. 

Sam dan Syatilla ada tiga anak bersama.

“Sarima (anak kedua) lebih tenang dan fokus dengan dunia sendiri. Dia sama macam saya, tapi perangai Salama agak berbeza. Contohnya dia akan menari dengan penuh perasaan macam diva. 

“Dia ada groove dan attitude yang tersendiri. Itu yang buatkan saya dan isteri nampak bakat dia.

“Dekat rumah pun dia pandai berdrama. Kadang-kadang buat-buat menangis semata-mata nak tarik perhatian,” katanya kepada mStar.

Berkongsi tentang perancangan masa depan anak-anaknya, Sam menegaskan dia tidak pernah menghalang jika ada di antara mereka yang mahu mengikut jejak langkahnya dalam bidang lakonan.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Shaheizy Sam nekad berhenti buat adegan mesra... “Dulu mungkin mahu berseronok, sekarang tidak lagi”

ARTIKEL BERKAITAN: Demi tuntutan watak, Zizie Izette puji Shaheizy Sam sanggup tambah berat badan

“Kalau ada minat, kenapa tidak? Tambah pula kalau mereka tahu bawa diri dan pandai uruskan kerjaya dengan baik.

“Industri seni bukanlah seteruk yang disangka. Saya percaya, bila mereka besar nanti, filem dan industri seni kita pun sudah lebih maju,” jelasnya.

Sam menegaskan minat anak-anak tetap menjadi keutamaan dan dia tidak mahu memaksa mereka untuk memilih sesuatu bidang hanya kerana kehendak ibu bapa.

“Kalau mereka tak minat, tak perlulah paksa. Zaman kita dulu, keluarga selalu tekankan mesti jadi doktor atau jurutera.

Salama pandai tarik perhatian.

“Tapi kalau tak minat, kita akan buat tanpa jiwa. Saya lebih suka mereka buat sesuatu yang benar-benar mereka suka dan lakukan dengan sepenuh hati,” katanya lagi.

Untuk rekod, Sam dan Syatilla mendirikan rumah tangga pada tahun 2016.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Syeriv Samheizy, Sarima Samheizy, dan Salama Samheizy.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain