PELAKON Fattah Amin berhasrat membawa anaknya, Nur Fatima Aisya, 5, bercuti ke Disneyland Paris selepas menunaikan impian puteri kesayangannya itu berkunjung ke Hong Kong baru-baru ini.
Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, berkata, dia perlu bekerja lebih keras untuk merealisasikan hasrat tersebut.
“Saya teringin nak bawa dia ke Disneyland di Paris pula, InsyaAllah semoga ada rezeki. Saya kena kerja keras lagi,” katanya kepada mStar.

Fattah seronok dapat luangkan masa bersama Fatima.
Fattah memaklumkan perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran platform penstriman digital (OTT), UTV yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada Khamis.
Bercerita tentang percutian ke Hong Kong baru-baru ini, Fattah memberitahu ia turut disertai ahli keluarga lain termasuk anak buahnya.
Malah aktor itu berkata, Fatima berasa lebih teruja apabila kehadirannya turut disertai saudara maranya ke taman tema itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Fattah Amin tunai janji, bawa Fatima bercuti ke Disneyland
ARTIKEL BERKAITAN: Fattah Amin bakal tamat zaman duda tahun ini, netizen dakwa dewan kahwin sudah ditempah
“Saya pergi ke sana bersama pasukan dan keluarga serta anak-anak buah yang lain. Fatima ini, dia suka kalau ada sepupu sekali untuk berkawan.
“Fatima ‘enjoy’ dan ‘excited’ dengan percutian di Disneyland itu. Sebenarnya ada banyak lagi gambar dan video yang kami rakam tapi tak sempat saya nak kongsikan,” ujarnya.
Ditanya mengenai kos percutian, Fattah mengakui dia menanggung keseluruhannya namun menolak istilah menaja kerana ia dianggap tanggungjawab sebagai anak sulung.
“Ya betul (tanggung kos), sebab yang ikut adalah keluarga dan saya pula anak sulung. Perkataan sponsor (taja) tu tak sesuai sebab kami pergi sebagai percutian keluarga jadi kami sama-sama lah,” tambahnya.
Saya nak bawa dia ke tempat baru sebab Disneyland di setiap negara itu berbeza.
FATTAH AMIN
PELAKON
Sementara itu, menjawab persoalan netizen mengenai pemilihan Hong Kong sebagai destinasi percutian, Fattah menjelaskan ia bertujuan memberi pengalaman baharu buat anaknya selain ia juga kunjungan pertama mereka ke negara tersebut.
“Ada juga tidak puas hati, orang boleh cakap apa mereka mahu. Sebenarnya Fatima dah pernah pergi Tokyo, jadi saya nak bawa dia ke tempat baru sebab Disneyland di setiap negara itu berbeza.
“Itu sebab saya bawa Fatima ke Hong Kong. Macam saya sendiri pun tak pernah pergi ke negara tu,” kata Fattah.
Mengulas mengenai tanggapan sesetengah pihak bahawa dia jarang berkongsi momen bersama Fatima di media sosial, Fattah berkata dia lebih selesa menjaga privasi keluarga.

Fattah dan Fatima nikmati masa bersama di Disneyland.
“Bagi saya setiap orang ada cara yang berbeza. Macam saya, lebih suka menjaga privasi dan akan berkongsi bila perlu di media sosial.
“Cuma macam percutian baru-baru ini, saya tak sempat nak kongsikan apa-apa masa sampai. Sebagai single dad yang kena mandikan Fatima, sediakan pakaian dia dan sebagainya.
“Kalau tengok Fatima ni memang seorang yang clingy, kemana pun dia mesti nak daddy dia. Jadi bila ada kelapangan masa baru lah saya kongsikan di media sosial,” katanya.
Sekadar info, Fattah mendirikan rumah tangga bersama pelakon Nur Fazura pada 27 November 2017 namun bercerai pada 7 Oktober tahun lalu.

Fattah malas ambil peduli komen netizen.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Fatima yang kini berusia lima tahun.
Dalam perkembangan lain, Fattah bakal tampil beberapa drama di UTV yang baru sahaja dilancarkan.
UTV yang diperkenalkan oleh Usanita Sdn Bhd itu adalah sebagai ruang baharu yang bukan sahaja menyajikan hiburan, tetapi juga membuka peluang besar kepada bakat kreatif tempatan untuk melangkah ke pentas lebih luas.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


