KEMBALI aktif dalam dunia seni, penyanyi Eda Ezrin memberitahu dia masih belum bersedia untuk berjumpa orang ramai kerana kurang keyakinan diri.
Eda atau Wan Norshaheeda Azlin Wan, 30, berkata dia mahu memberi fokus terhadap komitmen kerja lain sebelum berani membuat persembahan pentas di khalayak umum.
Menurutnya, selepas dibebaskan daripada penjara pada awal Ogos lalu, dia bersyukur kerana masih diterima peminat.
"Buat masa ini saya masih belum bersedia untuk membuat persembahan pentas atau muncul di program televisyen.

Eda masih belum bersedia membuat persembahan di khalayak ramai.
"Saya belum ada keyakinan diri lagi, insya-Allah tengoklah nanti selepas September jika ada tawaran lain.
"Penerimaan peminat semuanya okay, tiada pula yang memberi kecaman terhadap saya," katanya kepada mStar.
Terus rancak dalam membina kerjaya seni, dia kini dalam perancangan untuk melancarkan enam buah lagu baharu.
Tidak hanya itu, Eda juga banyak mengambil peluang untuk membuat reviu produk selain kerjasama dengan mana-mana jenama.
ARTIKEL BERKAITAN: Eda Ezrin dah ‘kelik rumoh’ jumpa keluarga, selesai tiga jam beri keterangan
ARTIKEL BERKAITAN: Sembilan bulan dalam penjara, Eda Ezrin dah boleh cakap Thai... Rupa-rupanya ada restoran sendiri
"Alhamdulillah rezeki selepas saya dibebaskan daripada penjara tak putus-putus. Makin banyak tawaran diterima, jadual kerja saya pun penuh sampai September nanti.
"Insya-Allah saya akan mengeluarkan beberapa buah lagu untuk mempromosikan produk makanan. Selain itu juga, saya banyak menerima tawaran reviu produk di media sosial," ujarnya.
Berkongsi lanjut mengenai pengajaran yang diperoleh selepas terpalit dengan kontroversi sebelum ini, Eda mengakui dia kini lebih berhati-hati dalam memilih kawan.
Kata Eda, dia bersyukur kerana masih ramai yang memberikan sokongan terhadapnya dan mahu mengambil peluang itu untuk menjadi individu lebih baik.
Penerimaan peminat semuanya okay, tiada pula yang memberi kecaman terhadap saya.
EDA EZRIN
PENYANYI
"Saya anggap apa yang berlaku sebagai ujian dan pengajaran besar dalam hidup saya. Saya belajar bahawa pentingnya berhati-hati dalam setiap langkah terutama sekali dalam berkawan.
"Saya juga lebih menghargai orang yang sentiasa menyokong saya tanpa henti, saya ambil sokongan ini sebagai peluang untuk menjadi insan lebih baik.
"Saya percaya setiap yang berlaku ada hikmah," luahnya.
Pada 6 Ogos, Eda dibebaskan selepas lebih Sembilan bulan ditahan di Penjara Pusat Narathiwat, Thailand.

Eda mengambil pengajaran atas apa yang menimpa dirinya.
Hakim mahkamah penjara Narathiwat membebaskan penyanyi berkenaan bersama suaminya iaitu Mohd Affendi Ahmad, 35, dan empat individu lain kira-kira pukul 11 pagi waktu Thailand.
Untuk rekod, pada 2 November tahun lalu, media melaporkan seorang penyanyi wanita tersohor Kelantan antara enam individu ditahan oleh pihak polis Thailand.
Mereka ditahan bersama 6,000 biji pil kuda dalam serbuan di sebuah hotel di Sungai Golok, Narathiwat pada pagi 1 November.
Keenam-enam suspek kemudiannya mendapat perintah reman di Mahkamah Wilayah Narathiwat pada 4 November tahun sama.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


