suria

Eda Ezrin dah ‘kelik rumoh’ jumpa keluarga, selesai tiga jam beri keterangan

Eda (baju hitam) keluar dari balai polis selepas beri keterangan. FOTO: BERNAMA

PENYANYI lagu Bae Sobar Bae selesai memberi keterangan di Balai Polis Rantau Panjang, Kelantan selepas dibebaskan dari tahanan Penjara Pusat Wilayah Narathiwat, Thailand pada malam Khamis. 

Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan sebelum itu tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, terus dibawa ke balai polis bagi memberi keterangan. 

Laporan media menyebut penyanyi itu berada di balai polis dalam tempoh lebih tiga jam sebelum dilihat keluar sekitar pukul 11.35 malam. 

Eda bersama seorang lagi rakannya kemudian dibawa pulang oleh keluarga masing-masing. 

Eda selesai jalani tahanan di Thailand. 

Dia bagaiamanpun enggan memberi sebarang maklum balas atau bertemu media yang menunggu di luar balai berkenaan. 

Eda bersama suami dan empat lagi rakannya dibebaskan pada Rabu selepas sembilan bulan menjalani tahanan di penjara Thailand. 

Pembebasan itu dibuat selepas mahkamah menolak permohonan pendakwa raya untuk menyambung tempoh mengemukakan rayuan. 

Difahamkan suami Eda yang turut ditahan masih lagi perlu melengkapkan urusan dokumentasi sebelum dibawa keluar dari kompleks imigresen. 

ARTIKEL BERKAITAN: 9 bulan dalam tahanan, Eda Ezrin akhirnya bebas 

ARTIKEL BERKAITAN: Penjara Narathiwat nafi Eda Ezrin fail cerai, dibenarkan jumpa suami sebulan sekali

Untuk rekod, pada 2 November tahun lalu, media melaporkan seorang penyanyi wanita tersohor Kelantan antara enam indvidu ditahan oleh pihak polis Thailand.

Mereka ditahan bersama 6,000 biji pil kuda dalam serbuan di sebuah hotel di Sungai Golok, Narathiwat pada pagi 1 November. 

Keenam-enam suspek kemudiannya mendapat perintah reman di Mahkamah Wilayah Narathiwat pada 4 November tahun sama. 

Eda bebas tuduhan miliki pil kuda di Thailand. 

Pada 6 Mac lalu, Eda dan Mohd Affendi dibebaskan oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat daripada pertuduhan berkenaan. 

Pun begitu, selepas bebas daripada tuduhan memiliki pil yaba itu, Eda, suami dan empat rakannya masih perlu menjalani hukuman penjara sekurang-kurangnya satu hingga empat bulan lagi. 

Hal demikian kerana pihak pendakwaan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan dibuat oleh mahkamah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain