suria

Shila Amzah serah kepada peguam, tidak akan keluarkan kenyataan demi jaga emosi

Shila tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan isu semasa yang sedang berlaku.

PENYANYI Shila Amzah mengambil keputusan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu semasa melibatkan dirinya dan penyanyi legenda, Datuk Amy Search.

Perkara itu dimaklumkan oleh pengurusnya, Aini Shuhaidah atau Aini susulan notis tuntutan (LOD) yang dikemukakan oleh Amy terhadap penyanyi berkenaan.

Jelas Aini, Shila yang kini sedang berdepan saat sukar dan penuh emosi memilih untuk memberi keutamaan terhadap kesihatan mental serta menyerahkan segala urusan berkaitan kepada peguam.

"Shila tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan peribadi buat masa ini berhubung perkara yang sedang berlangsung.

Aini tampil mengeluarkan kenyataan bagi pihak Shila Amzah. 

"Ini merupakan satu tempoh yang amat sukar dan penuh emosi buat Shila. Sebagai individu yang terlibat secara langsung, dia ingin memberi keutamaan kepada kesejahteraan emosinya dan memilih untuk membiarkan proses undang-undang berjalan mengikut saluran yang sewajarnya.

"Kes ini secara rasmi telah diserahkan kepada wakil guaman kami iaitu Nini Adila yang akan mengendalikan segala urusan berkaitan mulai sekarang," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa sama, Aini turut memohon agar semua pihak memberikan ruang privasi dan memahami situasi yang dihadapi oleh penyanyi lagu Patah Seribu itu. 

“Kami memohon privasi, kefahaman dan belas ihsan ketika Shila melalui fasa mencabar ini. Kami berharap agar penyelesaian yang adil dan saksama dapat dicapai oleh semua pihak terlibat.

ARTIKEL BERKAITAN: Amy Search hantar notis tuntutan kepada Shila Amzah

ARTIKEL BERKAITAN: Campur masalah keluarga punca penyanyi legenda serang Shila Amzah

“Terima kasih atas doa, empati dan sokongan berterusan daripada semua yang prihatin,” katanya.

Terdahulu mStar melaporkan Amy sudah menghantar LOD kepada Shila dan perkara itu disahkan peguam mewakilinya, Datuk M Reza Hassan.

Reza juga menjelaskan, peguam Shila sudah maklum mengenai LOD itu dan turut meminta waktu bagi tindakan lanjut.

Sebelum itu, Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 35, membuat laporan polis selepas mendakwa seorang penyanyi legenda menyerangnya di sebuah acara persembahan disertai mereka.

Amy dilaporkan sudah menghantar LOD kepada Shila. 

Pada 10 Julai lalu, Shila membuat laporan polis dan mengesahkan Amy yang juga bapa kepada pelakon, Nabila Huda adalah individu dimaksudkan.

Susulan itu, polis sudah mengambil keterangan daripada kedua-dua belah pihak.

Berdasarkan siasatan awal, punca ketegangan itu disebabkan Amy tidak berpuas hati kerana Shila didakwa mencampuri urusan keluarganya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain