suria

Eda Ezrin mahu susun semula hidup perlahan-lahan, anggap pengalaman 9 bulan di penjara beri pengajaran

Eda luah rasa syukur.

PENYANYI Eda Ezrin meluahkan rasa syukur selepas bebas menjalani tahanan dari Penjara Pusat Wilayah Narathiwat, Thailand. 

Selama sembilan bulan berada di penjara, Eda atau Wan Norsahidah Azlin binti Wan Ismail, 30, mengganggap tempoh tersebut banyak memberi pengajaran buat dirinya. 

“Setelah melalui detik-detik yang begitu mencabar dalam hidup, akhirnya saya kembali menjejak tanah air tercinta.

"Ujian ini bukan mudah namun dengan doa yang tak pernah putus saya temui kekuatan untuk terus bertahan," katanya. 

Luahan Eda di Instagram. 

Eda menulis luahan tersebut selepas dibebaskan pada Rabu. 

Dia tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Kelantan dan kemudian pulang ke pangkuan keluarga. 

Eda sebelum itu hadir memberi keterangan di Balai Polis Rantau Panjang. 

Dalam masa sama, dia juga mengucapkan penghargaan buat ahli keluarga dan teman rapat yang sentiasa memberi sokongan ketika berdepan ujian. 

ARTIKEL BERKAITAN: Sembilan bulan dalam penjara, Eda Ezrin dah boleh cakap Thai... Rupa-rupanya ada restoran sendiri 

ARTIKEL BERKAITAN: Eda Ezrin dah ‘kelik rumoh’ jumpa keluarga, selesai tiga jam beri keterangan

Penyanyi ini juga melihat pembebasannya sebagai satu permulaan baharu dalam hidup. 

“Terima kasih kerana tidak pernah membelakangkan saya.

“Izinkan saya menyusun semula langkah, perlahan-lahan, dengan penuh harapan dan doa. Moga Allah membalas setiap kebaikan kalian,” ujarnya. 

Untuk rekod, pada 2 November tahun lalu, media melaporkan seorang penyanyi wanita tersohor Kelantan antara enam indvidu ditahan oleh pihak polis Thailand.

Eda pulang ke pangkuan keluarga pada malam Khamis. 

Mereka ditahan bersama 6,059 biji pil kuda dalam serbuan di sebuah hotel di Sungai Golok, Narathiwat pada pagi 1 November. 

Pada 6 Mac lalu, Eda dan suaminya Mohd Affendi dibebaskan oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat daripada pertuduhan berkenaan. 

Namun dia perlu menjalani tahanan bagi membolehkan pihak pendakwaan mengemukakan rayuan. 

Mahkamah di sana pada Rabu bagaimanapun menolak rayuan pendakwaan untuk terus menahan Eda bersama suami dan empat rakan mereka.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain