suria

[V] Sophia Albarakbah buat laporan polis, dakwa jadi mangsa buli siber lucah dan ugutan seksual… “Ada yang mahu hantar santau”

PELAKON Sophia Albarakbah tampil membuat laporan di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur pada petang Jumaat berhubung dakwaan menjadi mangsa buli siber.

Sophia atau Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman, 32, yang hadir bersama peguamnya, Aizat Azam memaklumkan laporan itu dibuat susulan kecaman melampau yang diterima di media sosial.

Menurut Aizat Azam, komen yang diterima bukan sahaja berunsur penghinaan malah turut melibatkan ugutan seksual secara terbuka terhadap anak guamnya itu.

“Kami membuat laporan polis berhubung kejadian buli siber yang melibatkan penghinaan, unsur lucah serta ugutan seksual terhadap Sophia.

Sophia hadir bersama peguam membuat laporan polis. 

“Semua ini berlaku selepas dia memenangi Anugerah Selebriti Feminin Terhangat di Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025).

“Setakat ini lebih 10 tangkap layar telah diambil sebagai bahan bukti,” katanya kepada mStar.

Tambah Aizat Azam, gangguan tersebut memberi kesan besar terhadap emosi dan kerjaya Sophia sehingga mengganggu fokus kerja.

“Anak guam kami mengalami tekanan hebat seperti kemurungan akibat komen-komen negatif.

ARTIKEL BERKAITAN: “Allah pun boleh ampunkan hamba-Nya” - Sophia Albarakbah balas herdikan netizen 

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Bella Astillah tak salam dan pandang Sophia Albarakbah, netizen kata suasana atas pentas nampak ‘awkward’... “Yang ini saya kenal sangat”

“Ini soal mempertahankan maruah seorang wanita. Ugutan yang diterima juga membimbangkan daripada segi keselamatan, bukan sahaja secara fizikal malah ada yang mendakwa mahu menghantar santau,” jelasnya.

Dalam pada itu, Aizat Azam berkata, buat masa ini pihaknya hanya membuat laporan polis namun tidak menolak kemungkinan membawa perkara itu ke mahkamah jika situasi berlarutan.

“Jika masih berterusan, kami akan mengambil tindakan lanjut di mahkamah,” ujarnya.

Sebelum ini, Sophia meluahkan rasa kesal apabila kisah silamnya yang dikaitkan sebagai orang ketiga dalam rumah tangga penyanyi Bella Astillah dan pelakon Aliff Aziz kembali diperkatakan sehingga mencetuskan semula kecaman netizen.

Anak guam kami mengalami tekanan hebat seperti kemurungan akibat komen-komen negatif

AIZAT AZAM 

PEGUAM 

Aktres itu menegaskan isu tersebut sudah lama berlalu dan tidak wajar diungkit, malah kecewa apabila tidak pernah diberi peluang kedua sebaliknya terus dihina.

Kecaman terhadap Sophia kembali memuncak selepas insiden kekok di pentas AMT 2025 pada malam Ahad lalu ketika Bella menyampaikan trofi bagi kategori yang dimenangi pelakon itu.

Ketika itu, Bella menyebut mengenali Sophia namun berpaling dan meninggalkan pentas tanpa berjabat tangan atau menyapanya.

Sophia menerima banyak mesej keterlaluan. 

Untuk rekod, pada Januari 2023, nama Sophia menjadi bualan selepas Bella mendakwa Sophia sebagai orang ketiga dalam rumah tangganya bersama Aliff.

Bella turut memuat naik tangkap layar memaparkan mesej permohonan maaf daripada Sophia yang ingin memperbetulkan keadaan berhubung dakwaan tersebut.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 2016 sebelum disahkan bercerai talak satu buat kali kedua pada 13 Jun 2024. 

Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ayden Adrian dan Ara Adreanna.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain