PELAKON dan penyanyi Bella Astillah tampil memberi respon terhadap komen netizen yang kurang senang melihat dia memberikan 'pick-up line' kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman sewaktu sesi siaran langsung di media sosial.
Bella atau Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, berkata, tindakannya itu tidak dibuat secara sengaja sebaliknya hanya memenuhi komitmen pekerjaan yang diminta oleh klien.
"Saya tidak pernah sentuh tentang perkara tersebut sebelum ini tapi saya rasa penting untuk saya jelaskan dan saya harap ini kali pertama dan terakhir saya memberi kenyataan.

Netizen meluahkan rasa tidak puas hati di laman Threads.
"Ayat-ayat pick-up line itu bukanlah sesuatu yang saya cipta untuk suka-suka. Bila klien minta dengan menunjukkan papan putih tertulis 'Bella/YB pick-up line' saya cuma laksanakan apa yang diminta.
"Ia adalah sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab saya," katanya.
Bella berkongsi perkara itu bagi menjawab hantaran netizen yang dimuat naik di laman Threads.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Lebih Indah Berpisah’ digugurkan sebagai OST drama? Bella Astillah tak tahu, syukur peminat ambil berat
ARTIKEL BERKAITAN: Bella Astillah dedah Ayden kena buli, dipanggil anak yatim di sekolah
Dalam pada itu, Bella sekali lagi menegaskan apa sahaja ayat yang digunakan adalah mengikut perancangan pihak yang memberi tawaran kerja.
"Kalau kita nak bincang secara intelektual, saya sangat terbuka tetapi sekadar peringatan mesra, sesi itu bukan sesi siaran langsung di akaun peribadi saya tetapi milik klien" ujarnya.
Sebelum ini, netizen meluahkan rasa tidak puas hati melihat Bella sering kali memberi pick-up line kepada Syed Saddiq yang dikaitkan dengan dunia hiburan.

Bella hanya mengikut permintaan klien.
Kata netizen itu, Syed Saddiq didakwa sudah penat melayan perbuatan aktres berkenaan yang disifatkan berbeza personaliti dengan ahli politik itu.
"Asyik nak berpick up line 24 jam saja Bella, tak pernah dia berkata tentang hal luar yang bersangkutan dengan kerjaya YB Syed Saddiq.
"Setidaknya kena masuk sekali dalam dunia realiti YB, asyik-asyik dunia hiburan, YB pun macam dah malas nak melayan boleh tengok reaksi cara dia (Syed Saddiq) menjawab," tulisnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


