PELAKON Sherry Ibrahim berkongsi luahan perasaannya mengenai kehidupan peribadi dan masa lalu yang pernah dilaluinya sebelum ini.
Sherry atau Syarizad Ibrahim, 42, berkata, setiap individu mempunyai kisah sendiri namun ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menilai atau menghukum orang lain.
Kata Sherry, meskipun masih belum mendirikan rumah tangga, ia bukanlah ukuran kepada kebahagiaan dalam kehidupannya.

Sherry harap tiada yang mengungkit kisah lalunya lagi.
"Kalau saya boleh berdamai dengan masa lalu, kenapa anda tidak boleh? Tolong jangan ungkit cerita lama yang anda sendiri tak tahu hujung pangkalnya sebab ia hanya menyakitkan dan menambah kebencian yang tak perlu.
"Kenapa nak ungkit dan sebarkan cerita lama? Sedangkan saya sendiri sudah reda dan berdamai dengan takdir. Tak perlu ada yang menambah dosa dengan memburukkan lagi keadaan.
"Tak bermaksud kalau saya masih belum berkahwin sampai hari ini, saya tak bahagia. Saya ulang, kalau saya boleh memaafkan dan berdamai dengan masa lalu saya, kenapa ada antara kamu yang tak boleh buat perkara sama?," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Individu fitnah belum minta maaf, Sherry Ibrahim anggap ladang pahala percuma
ARTIKEL BERKAITAN: Dituduh belum ‘move on’… Sherry Ibrahim minta hentikan kebencian atau berdepan saman
Sherry berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Tidak mendedahkan punca sebenar luahan tersebut dibuat, Sherry menjelaskan dia menerima setiap yang berlaku dalam hidup sebagai satu ketentuan daripada Allah SWT.
Pelakon drama Gadis Masa itu juga turut meluahkan rasa sedih dan keletihan yang dialami serta memohon memaaf kerana bertindak emosional.

Sherry sudah bahagia dengan kehidupannya sendiri.
"Saya harap ada antara 'haters' di luar sana boleh cuba tanam sedikit empati dalam hati, bukan kebencian. Hanya Allah yang menentukan apa terbaik buat saya.
"Dari pihak saya, saya reda dan berserah. Saya juga sentiasa mendoakan yang terbaik untuk semua dan yakin pada takdir serta proses ditentukan oleh Allah. Sumpah, sedih dan penat.
"Kepada semua yang menyokong saya dengan kasih sayang dan kebaikan, terima kasih. Saya sangat menghargai usaha anda semua. Maaf sebab terlalu emosional," ujarnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


