DRAMA bersiri Mandul Bukan Pilihan memasuki minggu akhir dengan jalan cerita yang semakin mencetus persoalan mengenai pengakhiran kisah Billa, Aldi dan Farah.
Mengisi slot MegaDrama, drama yang acapkali menduduki carta trending itu menampilkan barisan pelakon berbakat besar seperti Hun Haqeem, Mira Filzah, Ayda Jebat, Ashraf Muslim, Normah Damanhuri, Chacha Maembong dan Wan Raja.
Dalam episod terbaharu minggu ini, Murshidi (lakonan Wan Raja) yang disangka bapa kandung Farah mula meragui status sebenar anaknya itu, sekali gus menjejaskan hubungan keluarga yang selama ini disangka kukuh.

Farah mula menerima balasan daripada perbuatannya sendiri.
Namun konflik tidak berakhir di situ, Farah (lakonan Ayda Jebat) turut menerima tamparan hebat apabila Aldi (lakonan Hun Haqeem) membuat keputusan drastik tidak mahu meneruskan perkahwinan pada hari pernikahan mereka.
Tindakan Aldi menolak untuk meneruskan akad nikah menjadi titik tolak penderitaan Farah terutama apabila tidak lagi menerima sokongan daripada keluarga.
Dalam masa sama, Tokma (lakonan Normah Damanhuri) mula menyedari kesilapan lalu apabila memberi layanan tidak adil antara dua cucu-cucunya itu iaitu Billa (lakonan Mira Filzah) dan Farah.
ARTIKEL BERKAITAN: Ketegangan mula memuncak, ‘Mandul Bukan Pilihan’ sarat dengan plot twist… “Rasa nak campak remote TV, penat jantung aku minggu ini”
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Hun Haqeem tak malu buat ujian kesuburan, seru lelaki buang stereotaip hanya wanita ada masalah mandul
Dengan apa yang berlaku, timbul rasa menyesal kerana Tokma sebelum ini lebih memanjakan Billa berbanding Farah.
Sementara itu, hubungan cinta antara Billa dan Aldi sekali lagi berdepan ujian hebat apabila Billa kembali menghidap kanser rahim.
Keadaan ini sekali gus menutup harapan mereka untuk memiliki zuriat.
Kini persoalan mula timbul adakah Farah akhirnya menemui bahagia setelah mengkhianati individu yang paling rapat dengannya?
Ketegangan drama ini juga semakin memuncak apabila Billa mendapati kasih sayang Farah terhadapnya hanyalah sekadar lakonan.

Tokma menyesali kesilapan yang dilakukan kepada Billa dan Farah.
Mampukah Tokma menebus kembali kesilapan terhadap sikap pilih kasih yang diberikan kepada Billa dan Farah?
Sudah pasti penonton tidak sabar menantikan pengakhiran Billa dan Aldi selepas diuji sekali lagi dengan masalah kesihatan.
Semuanya bakal terungkai dalam episod minggu akhir Mandul Bukan Pilihan yang disiarkan pada setiap Isnin hingga Khamis, pukul 10 malam di Astro Ria (saluran 104) dan platform penstriman Astro GO dan sooka.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


