suria

“Melampau! Semua yang sign petisyen itu tak semak fakta...” - Vivy Yusof ambil tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah

Vivy kecewa dengan penyebaran foto fitnah terhadap dirinya.

USAHAWAN Vivy Yusof kesal dengan penyebaran foto dan teks palsu mendakwa dia menghina golongan masyarakat B40 di laman sosial.

Menurut Vivy, dakwaan tersebut merupakan satu fitnah kerana dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berbentuk hinaan sedemikian di mana-mana platform media sosial.

"Foto ini tersebar dan terus viral... saya nak cakap yang saya tak pernah terfikir nak cakap macam ini. Saya tak sangka orang percaya benda seteruk ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Vivy Yusof dilantik Ahli Lembaga Pengarah UiTM, netizen ‘tak senang duduk’... “Macam tak ada orang lain”

"Foto ini dikongsi ramai dan mereka percaya... sampaikan ada petisyen yang menggesa saya meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM).

"Itu sangat melampau! Semua yang sign petisyen itu tak semak fakta... saya tak pernah cakap macam itu!" katanya menerusi siaran langsung di Instagram.

Baru-baru ini, Vivy dikecam teruk netizen apabila perbualannya dengan seorang lagi ahli perniagaan wanita yang juga rakannya di media sosial tular.

Vivy buat penjelasan di Instagram.

Menerusi perbualan itu, mereka berkongsi dan bertukar pendapat mengenai sumbangan yang diberikan kerajaan kepada masyarakat selepas ramai yang terjejas dari segi pendapatan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Difahamkan, mereka dikatakan mempertikaikan sumbangan golongan berkenaan terhadap kerajaan selama ini.

Bagaimanapun, Vivy sudah membuat permohonan maaf di Instagram dan menjelaskan maksud sebenar perbualannya dengan rakannya itu

Sementara itu, Vivy menegaskan dia tidak pernah merendah-rendahkan mana-mana golongan masyarakat, malah mempunyai inisiatif tersendiri bagi membantu mereka yang memerlukan.

"Saya tak pernah pandang rendah masyarakat B40... kalau saya pandang rendah saya tak beri bantuan, kalau saya tak sayang, saya tak mulakan projek fund itu.

"Saya minta maaf kepada netizen terutamanya B40, saya nak tegaskan lagi sekali saya tak pernah pandang rendah sesiapa," ujarnya.

Petisyen mendesak Vivy letak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah UiTM.

Dalam pada itu, Vivy berkata penyebaran berita palsu itu memberikan kesan terhadap dirinya dan keluarga.

Justeru itu dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang memulakan fitnah tersebut.

"Saya faham mungkin perkataan saya guna tak betul, tak sensitif tapi saya akan terus perbaiki diri... namun saya tak boleh toleransi dengan penipuan dan fitnah tentang diri saya ini.

"Nak buat baik tak perlu maki hamun orang... jadi saya akan ambil tindakan undang-undang terhadap orang yang memulakan penipuan, fitnah, khabar angin dan petisyen ini.

"Mereka berniat jahat dan di luar jangkaan macam mana mereka boleh terfikir nak buat begini. Fitnah dan buli siber ini bukan mudah dilalui sehingga meninggalkan kesan terhadap keluarga dan team saya," katanya.

Vivy Yusof

Artikel Lain