Faisal berkata, apa yang dipaparkan dalam filem itu adalah untuk dijadikan pengajaran dan iktibar semata-mata dan bukannya bertujuan menyebarkan budaya gengster untuk diikut oleh remaja.
"Saya akan berasa kecewa jika Juvana 2 ini dipersalahkan sekali lagi dalam peningkatan kes buli yang sememangnya sudah berlaku sejak dahulu lagi dikalangan pelajar sekolah.
"Saya berharap mereka yang menonton filem Juvana 2 kali ini menggunakan akal fikiran dan mengambil perkara buruk untuk dihindari atau sebagai pengajaran sahaja," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di lokasi penggambaran filem Juvana 2 dan Juvana 3, di Jalan Doraisamy, di sini pada Khamis.
Faisal berkata demikian ketika diminta mengulas tentang filem Juvana yang ditayangkan tahun lalu telah dikaitkan dengan kes buli yang berlaku dikalangan pelajar sekolah.
Pada 10 April 2013, polis telah menahan tiga pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di Seberang Jaya, Pulau Pinang kerana membelasah rakan mereka akibat berang apabila ketua tingkatan itu mahu membuat laporan kepada guru selepas mendapati mereka membawa telefon bimbit ke sekolah.
Perbuatan mereka dirakam dan dimuat naik ke laman YouTube.
Dalam rakaman itu turut kedengaran dialog salah seorang pelajar berkenaan iaitu: “Nama aku Lan. Panggil Aku Lan Todak,” - ungkapan pelakon Sharnaaz Ahmad yang memegang watak kaki buli dalam filem tersebut.


