suria

Afiq Muiz Minta Kes Derhaka Ibu Tidak Diungkit

Afiq dan ibunya, Hasliza Mohd meminta agar insiden pergaduhan mereka anak-beranak tidak diungkit lagi selepas ini.
PETALING JAYA: Pelakon Afiq Muiz meminta agar insiden pergaduhannya dengan ibu sendiri iaitu Hasliza Mohd yang melabelkannya sebagai anak durhaka tidak lagi diungkit oleh mana-mana pihak.

Afiq, 21, berkata, biarlah mereka berdua menjalani kehidupan baharu tanpa perlu kisah berkenaan dipanjangkan kerana hubungan  sudah kembali jernih dan bertambah rapat berbanding sebelum ini.

"Saya tidak mahu lagi mengungkit peristiwa itu kerana ia sudah menjadi sejarah dan biarlah kami menjalani kehidupan dengan tenang," jelasnya kepada mStar Online. 

Hubungan ibu dan anak itu kembali jernih pada Januari lalu dan Afiq pernah memberitahu dia insaf dan menyesal atas perbuatannya menderhaka kepada ibu sendiri selain telah pun memohon ampun kepada ibunya itu.
Dalam perkembangan sama, Afiq berkata, kejadian tersebut membuatkan dia menjadi seorang yang lebih matang dan bersyukur diberi kesempatan untuk menyedari kesilapan yang dilakukan sebelum ini.

Malah kata Afiq, insiden berkenaan turut menyedarkannya tentang realiti industri hiburan yang sebenar dan mengakui lebih berhati-hati sejak peristiwa itu.

Afiq merancang untuk membawa ibunya mengerjakan umrah pada Januari tahun hadapan.

"Jika kejadian itu tidak berlaku mungkin saya tidak menyedari pelbagai perkara yang berlaku di sekeliling saya terutama mengenai realiti industri hiburan dan saya kini lebih matang," jelasnya. 

Sementara itu, Hasliza pula berkata, biarlah mereka sahaja yang tahu apa sebenarnya berlaku dan mengharapkan doa yang baik-baik agar mereka sentiasa dilindungi Allah.

"Afiq adalah seorang anak yang baik dan kejadian itu sudah pun memberikan pengajaran kepadanya dan hikmahnya hubungan kami bertambah rapat berbanding sebelum ini.

"Apa juga yang berlaku dan apa diperkatakan oleh orang biarlah kami simpan sahaja," ujarnya yang bakal mengerjakan umrah di Mekah bersama anaknya itu pada Januari tahun hadapan.

Dalam perkembangan lain, Afiq memberitahu dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran beberapa buah drama termasuk akan ke New Zealand dan Turki untuk tujuan tersebut.

Malah Afiq juga enggan mengulas mengenai hubungan dengan pelakon Eina Azman yang turut menjadi punca pemuda itu menderhaka kepada ibunya.
Afiq Muiz, Hasliza Mohd.

Artikel Lain