suria

16 Selebriti Sertai Cabaran Memasak 'Jaguh Kampung'

Sheila Mambo (kiri) dan Farawahida antara artis yang akan menyertai Jaguh Kampung.
KUALA LUMPUR: Seramai 16 selebriti bakal memeriahkan program realiti pencarian juara memasak iaitu Jaguh Kampung musim keempat yang bakal memulakan siarannya di Astro Prima pada 18 Jun ini.

Pengurus Saluran Astro Prima, Namanzee Harris berkata, para selebriti tersebut akan menjadi tetamu jemputan bagi membantu 16 peserta memenangi pertandingan tersebut.

"Mereka (selebriti) ini akan membantu kumpulan yang disertai itu memasak. Tidak semestinya mereka pandai memasak, tetapi kehadiran mereka sebagai pemberi semangat kepada setiap kumpulan yang diwakili," katanya.

Namanzee ditemui  pada majlis pelancaran program Jaguh Kampung musim keempat di Restoran Serai di sini pada Khamis.

Jimmy Palikat


Antara barisan selebriti yang terlibat ialah Farouk Hussain, Yassin Yahya (Senario), Zul Yahya, Sheila Mambo, Noorkhiriah, Norlia Ghani, Ida Moin, Zulin Aziz, Sharifah Sahora, Jimmy Palikat, Acong dan Farawahida.

Jaguh Kampung bakal menyaksikan seramai 16 pasukan dari pelbagai kampung di seluruh Malaysia akan berentap berdasarkan format kalah mati dalam menyediakan hidangan asli kampung.

Kesemua pasukan terpilih perlu bersaing di peringkat kampung dahulu  sebelum mara ke peringkat seterusnya mengikut tiga zon iaitu Zon A (Melaka dan Selangor), Zon B (Perak dan Kedah), Zon C (Kelantan dan Terengganu) dan Zon D (Sabah dan Sarawak).

"Tema dan cabaran yang diberi akan bertambah susah pada setiap peringkat. Ia berdasarkan tema yang diberikan oleh pihak produksi dalam merebut gelaran juara," ujarnya.

Bersiaran selama 13 episod, Jaguh Kampung turut menampilkan Shamsul Ghau Ghau sebagai pengacaranya manakala Chef Ahmad Kasdi dan Chef Mohd Irwan Mohd Nor akan menjadi juri tetap.

Program ini akan bersiaran setiap Rabu, pukul 9.30 malam.
Jaguh Kampung, Astro Prima

Artikel Lain