suria

Pengarah Harap 'Juvana 2' Tidak Dijadikan Isu Kes Buli

Faisal harap Juvana 2 tidak dikaitkan sekali lagi dengan kes buli.
KUALA LUMPUR: Pengarah filem Juvana, Faisal Ishak berharap sekuel filem tersebut iaitu Juvana 2 tidak dipersalahkan sekali lagi sebagai penyumbang kepada peningkatan kes buli dan gengsterism di kalangan pelajar sekolah yang berlaku kebelakangan ini.

Faisal berkata, apa yang dipaparkan dalam filem itu adalah untuk dijadikan pengajaran dan iktibar semata-mata dan bukannya bertujuan menyebarkan budaya gengster untuk diikut oleh remaja.

"Saya akan berasa kecewa jika Juvana 2 ini dipersalahkan sekali lagi dalam peningkatan kes buli yang sememangnya sudah berlaku sejak dahulu lagi dikalangan pelajar sekolah.

"Saya berharap mereka yang menonton filem Juvana 2 kali ini menggunakan akal fikiran dan mengambil perkara buruk untuk dihindari atau sebagai pengajaran sahaja," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di lokasi penggambaran filem Juvana 2 dan Juvana 3, di Jalan Doraisamy, di sini pada Khamis.

Faisal berkata demikian ketika diminta mengulas tentang filem Juvana yang ditayangkan tahun lalu telah dikaitkan dengan kes buli yang berlaku dikalangan pelajar sekolah.

Pada 10 April 2013, polis telah menahan tiga pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di Seberang Jaya, Pulau Pinang kerana membelasah rakan mereka akibat berang apabila ketua tingkatan itu mahu membuat laporan kepada guru selepas mendapati mereka membawa telefon bimbit ke sekolah.

Perbuatan mereka dirakam dan dimuat naik ke laman YouTube.

Dalam rakaman itu turut kedengaran dialog salah seorang pelajar berkenaan iaitu: “Nama aku Lan. Panggil Aku Lan Todak,” - ungkapan pelakon Sharnaaz Ahmad yang memegang watak kaki buli dalam filem tersebut.

Antara babak lakonan Sharnaaz Ahmad dalam filem Juvana lalu sebagai Lan Todak.

Dalam pada itu, Faisal turut menggalakkan ibu bapa untuk menonton karya itu bagi mengetahui apa sebenarnya yang dipaparkan sebelum menunding jari kepada filem tersebut.

"Saya galakkan ibu bapa datang tengok filem ini dan apa yang cuba saya paparkan adalah keganasan sebagai jalan terakhir untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

"Kadang-kadang ada situasi yang kita tidak boleh lari daripada keganasan dan setiap pertikaian yang saya tonjolkan dalam filem ini ada sebab tersendiri," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya tentang watak Lan Todak yang dilakonkan oleh Sharnaaz Ahmad tidak dikekalkan dalam filem Juvana kali ini, Faisal berkata ia direhatkan buat sementara waktu.

"Pada Juvana lalu Lan Todak ditangkap, jadi saya rehatkan watak itu untuk Juvana 2 dan Juvana 3 tetapi bukan kerana isu kes buli yang berlaku, sebaliknya kita mahu munculkan watak lain iaitu To Ki yang dilakonkan oleh Pekin iaitu kawan baik kepada Lan Todak.

"Beberapa pelakon asal lain seperti Johan As'ari, Zahiril Adzim dan Shera Ayob kami masih kekalkan," katanya.

Dalam pada itu, Faisal berkata, sebanyak 40 peratus babak aksi akan dipaparkan dalam filem tersebut.

Katanya, latar belakang cerita kali ini lebih banyak tertumpu di luar sekolah berbanding filem terdahulu.

"Kita membawa watak-watak lama dan kebanyakan mereka sudah besar dan bercerita tentang kehidupan mereka selepas keluar daripada sekolah pemulihan akhlak tersebut.

"Kali ini lebih kurang 40 peratus babak aksi dan ganas kita cuba paparkan, ada beberapa babak yang saya cuba masukan tetapi tidak tahu lepas atau tidak Lembaga Penapisan Filem," katanya.

Sementara itu, Faisal berkata penggambaran dilakukan selama 33 hari untuk dua filem sekali gus iaitu Juvana 2 dan Juvana 3 disekitar Kuala Lumpur.

Jelasnya, penggambaran dua filem tersebut adalah supaya filem Juvana 3 tidak terlalu lama memnanti tarikh tayangannya.

"Kita buat dua filem sekali gus supaya filem Juvana 3 dapat ditayangkan cepat iaitu beberapa bulan sahaja dari tayangan Juvana 2.

"Kita tidak mahu penonton menunggu lama untuk sambungan filem tersebut, jika tarikh tayangan Juvana 2 dapat pada Disember ini, saya harap Juvana 3 ditayangkan tiga bulan selepas itu," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain