suria

Penaja Dapat Potongan Cukai Taja 'Konsert Teaterikal Suara Kita'

Ziana Zain
Ziana Zain

PETALING JAYA: Bagi menyokong industri seni negara Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia memberi insentif potongan cukai kepada badan badan korporat yang terlibat dalam penajaan Konsert Teaterikal Suara Kita yang bakal berlangsung pada 3 hingga 9 Mac depan di Panggung Sari, Istana Budaya.

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya melihat potensi pementasan tersebut sebagai sebuah produk pelancongan yang popular.

"Kami mengalu-alukan dan menggalakkan badan korporat untuk melibatkan diri dalam penajaan konsert tersebut atau sebarang kolaborasi yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

"Konsert ini dilihat bukan sekadar sebuah pementasan teater muzikal biasa, tetapi menjadi salah satu acara penting dalam kalender Tahun Melawat Malaysia 2014," katanya dalam satu kenyataan.

Konsert Teaterikal Suara kita akan mengandingkan bintang popular Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain yang pernah menjadi ikon anak muda dalam dunia percintaan dan mendapat liputan luas media suatu ketika dahulu.

Pementasan selama tujuh hari itu berkonsepkan gabungan lakonan dan nyanyian dalam mengimbau episod kegemilangan filem filem Melayu ‘pecah panggung’ yang pernah menggegarkan sinema Malaysia dua dekad lalu.

Persembahan selama 2 jam 30 minit ini akan mementaskan semula sorotan babak dari filem filem tersebut sebagai teras dan latar penceritaan.

Ia juga akan diwarnai dengan nyanyian 22 buah lagu malar segar dari Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain.

Konsert tersebut diterbitkan oleh Awie Entertainment Sdn Bhd dan mendapat sentuhan Erma Fatima sebagai Pengarah Pementasan, Azmi Zainal Abidin sebagai Pengarah Produksi serta Edrie Hashim sebagai Pengarah Muzik.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain