suria

LY Tepis Tuduhan TV3 Utamakan Hafiz Dalam AJL28

LY tidak merasa dipinggirkan kerana tidak berpeluang berucap ketika diumum sebagai juara AJL28.
LY tidak merasa dipinggirkan kerana tidak berpeluang berucap ketika diumum sebagai juara AJL28.

PETALING JAYA: Komposer LY mengakui terdapat gangguan teknikal ketika namanya dan isteri, Baiduri diumumkan sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu ke28 (AJL28) pada 26 Januari lalu sehingga menyebabkan mereka lewat untuk naik ke atas pentas.

LY atau nama sebenar Rozman Shafie, 52, berkata, ia bukan kesalahan pihak TV3 dengan sengaja untuk memberi peluang kepada penyanyi lagu Bahagiamu Deritaku Hafiz berucap pada malam tersebut.

"Pada malam kemenangan itu ada kesilapan teknikal yang mana isteri saya Baiduri sukar ke pentas kerana kedudukan kerusi kami sehingga menyebabkan kami agak mengambil masa menuju ke pentas. Walhal memang penganjur menyebut nama komposer dahulu diikuti penulis lirik dan kemudian baru penyanyi.

"Pada saya tindakan Hafiz tidak salah kerana dia berucap bagi mewakili kami kerana ketika itu juga program tersebut sudah kesuntukan masa dan Hafiz sudah memang berada di atas pentas," katanya kepada mStar Online, di sini, pada Isnin.

LY berkata demikian ketika diminta mengulas laporan ruangan pojok sebuah akhbar mingguan yang menganggap program AJL28 sudah menyimpang apabila lebih menonjolkan penyanyi sedangkan matlamat pertandingan itu ialah mengiktiraf komposer dan penulis lirik.

Dalam pada itu, LY berkata, dia dan isteri tidak terasa hati atau dipinggirkan sekalipun tidak berpeluang untuk berucap pada malam itu.

Tambahnya, program anjuran TV3 itu merupakan satu-satunya program pertandingan yang mengangkat lagu ciptaan komposer dan penulis lirik tanah air.

"Program AJL merupakan satu-satunya pertandingan lagu yang mengangkat pencipta-pencipta lagu tempatan dalam kes ini saya tidak rasa pihak penganjur berniat untuk menonjolkan penyanyi semata-mata.

"Apa yang diucap oleh Hafiz pada malam itu juga tidak salah kerana memang kami juga sepatutnya berterima kasih kepada peminat Hafiz yang menyokong dan suka lagu ini sehingga lagu ini berada di tempat sekarang," katanya.

Sementara itu, LY turut mengakui populariti dan kehebatan seseorang penyanyi turut mampu mengangkat sesebuah lagu untuk berada di tempat paling tinggi.

Artikel Berikut

Artikel Lain