suria

Sabhi Saddi Jalani Pembedahan Akibat 'Slip Disc'

Sabhi terpaksa menggunakan pad sokongan pada bahagian pinggangnya selama dua minggu bagi memulihkan luka selepas pembedahan. Foto Ihsan SABHI SADDI.
Sabhi terpaksa menggunakan pad sokongan pada bahagian pinggangnya selama dua minggu bagi memulihkan luka selepas pembedahan. Foto Ihsan SABHI SADDI.
Sabhi terpaksa menggunakan pad sokongan pada bahagian pinggangnya selama dua minggu bagi memulihkan luka selepas pembedahan. Foto Ihsan SABHI SADDI.

PETALING JAYA: Penyanyi Sabhi Saddi selamat menjalani pembedahan bahagian tulang belakangnya akibat cakera gelincir (slip disc) selepas dimasukkan ke Pusat Perubatan Sunway di sini pada Isnin lalu.

Sabhi berkata, pembedahan itu terpaksa dilakukan untuk mengelakkan daripada penyakit berkenaan menjadi bertambah serius sehingga membuatkan dia menanggung kesakitan dan tidak berupaya untuk bergerak sejak dua minggu lalu.

"Menerusi keputusan imbasan MRI (Magnetic Resonance Imaging) yang dilakukan doktor mendapati beberapa urat saraf pada bahagian bawah tulang belakang saya bengkak sehingga menyebabkan saya sukar berjalan selain kaki sentiasa berasa panas akibat peredaran darah yang tidak lancar.

"Doktor terpaksa menjalankan pembedahan bagi mengelakkan keadaan lebih serius dan Alhamdulillah keadaan saya kini beransur pulih," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Khamis.

Slip disc berlaku apabila bulatan tisu penghubung di sekitar cakera rosak. Ini menyebabkan bahagian lembut, seperti gel bahagian cakera membengkak dan menonjol keluar.

Kesakitan berlaku apabila cakera tersebut menekan pada saraf yang terjejas dan akan menyebabkan pesakit sukar untuk berdiri dan berjalan.

Dalam perkembangan sama, Sabhi berkata, dia bernasib baik kerana tidak membiarkan kesakitan itu berlarutan kerana menurut doktor dia boleh lumpuh separuh badan akibat keadaan itu.

Tambah Sabhi, doktor juga telah menasihatinya supaya tidak terlalu aktif bersukan kerana bimbang kecederaan itu akan berulang jika dia tidak berhati-hati.

"Saya tidak dapat bayangkan jika saya biarkan keadaan itu berlarutan dan bernasib baik saya bergegas ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Saya sendiri sudah serik untuk terlalu bergiat aktif dalam bidang sukan dan hanya akan melakukan senaman ringan yang dibenarkan oleh pihak hospital sahaja," katanya.

Menceritakan lebih lanjut mengenai keadaannya, Sabhi berkata, dia mula merasakan sesuatu yang tidak kena dengan keadaannya apabila dia sukar untuk berjalan dan berdiri selain terpaksa menanggung kesakitan pada pinggangnya.

Jelas Sabhi, dia juga telah melakukan rawatan fisioterapi dan ubat-ubatan tradisional Cina namun keadaannya bertambah buruk sehingga menyebabkan dia tidak bermaya.

"Sebelum ini saya memang aktif pelbagai jenis sukan seperti badminton, bola sepak dan futsal namun tidak menyangka aktiviti berkenaan turut memberikan kesan buruk kepada kesihatan jika kita tidak berhati-hati.

"Pada mulanya keadaan itu tidak terlalu serius namun ia semakin buruk apabila saya sukar untuk bangun dan berjalan selain kesakitan pada bahagian kaki dan pinggang.

"Malah saya juga sukar tidur kerana kesakitakan pada bahagian belakang sehinggakan terpaksa makan dalam keadaan meniarap," katanya.

Sementara itu, Sabhi berkata, dia kini telah dibenarkan pulang ke rumah untuk berehat selama dua minggu dan terpaksa mengenakan pad sokongan pada badannya untuk membetulkan kembali keadaan tulang belakangnya yang tercedera.

"Mujur ada isteri yang sentiasa menjaga saya 24 jam sehari dan dia banyak membantu dalam proses pemulihan ini. Alhamdulillah keadaan saya sudah semakin pulih," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sabhi berkata, dia akan kembali bekerja bermula 22 Oktober ini untuk menjalani penggambaran sebuah drama bersiri 13 episod untuk siaran TV Al-Hijrah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain