suria

Ezany & Kru Produksi Buat Repot Polis Tuntut Hutang Syarikat Produksi

Ezany
Ezany
Ezany

SERDANG: Pelakon Ezany Nizariff bersama enam orang kru produksi membuat laporan di ibu Pejabat Polis Daerah di sini pada petang Isnin bagi menuntut sebahagian gaji dari syarikat produksi NR Network yang tidak dibayar sejak empat bulan lalu.

Ezany, 40, berkata, dia bersama kru tersebut nekad membuat laporan polis selepas penerbitnya yang dikenali sebagai Andy enggan mengadakan perbincangan bagi masalah berkenaan.

"Penggambaran drama (berjudul Titisan Dua) telah dijalankan pada awal Januari sehingga 17 Februari lalu. Tetapi sehingga sekarang, sebahagian wang bayaran kami masih lagi belum dijelaskan.

"Saya faham, mungkin mereka (penerbit) tidak mempunyai wang, jadi saya meminta mereka untuk menjelaskan bayaran kami sedikit demi sedikit. Tetapi malangnya mereka buat tidak tahu sahaja.

"Selepas berbincang dengan kru lain, rupa-rupanya mereka mempunyai masalah yang sama. Dan macam-macam lagi masalah dalaman yang agak melampau telah berlaku dalam produksi ini. Sebab itu kami buat laporan polis," katanya yang ditemui selepas membuat laporan berkenaan.

Ezany memberitahu baki bayaran yang perlu dijelaskan kepadanya adalah sebanyak RM3,500 manakala kru-kru produksi lain dianggarkan tidak mendapat upah mereka di antara RM20,000 hingga RM30,000 secara keseluruhan.

Tambah pelakon itu lagi, dia telah membuat aduan kepada pihak Persatuan Pekerja Filem Profesional Malaysia (Profima) namun sehingga kini tiada sebarang respons yang diberikan.

"Saya kecewa apabila pihak Profima seperti mengambil sikap sambil lewa sahaja tentang perkara ini.

"Langsung tidak memberikan apa-apa respons. Lebih baik mereka tidak bekerja di bawah Profima jika tidak menjalankan tugas," ujarnya kesal.

Kru yang membuat laporan ialah Mohamad Al Afiq Md Jamil, 26, Khairunisa Zainudin, 26, Fauziah Shamsuddin, 25, Intan Salwani Daud, 35, Emilia Samsudin, 35, dan Amiludin Daud, 39.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain