suria

'Saya Masih Rindukan Azizah' - A Rahman Hassan

A Rahman mengakui rindukan saat-saat menghabiskan masa bersama isterinya, Datin Azizah Mohamad.
A Rahman mengakui rindukan saat-saat menghabiskan masa bersama isterinya, Datin Azizah Mohamad.
A Rahman mengakui rindukan saat-saat menghabiskan masa bersama isterinya, Datin Azizah Mohamad.

PETALING JAYA: Selepas kira-kira dua minggu pemergian Datin Azizah Mohamad, suaminya, penyanyi 60-an iaitu Datuk A Rahman Hassan mengakui masih lagi rindu mengenangkan saat-saat manis mereka berdua sepanjang 44 tahun mendirikan rumah tangga.

A Rahman berkata, beliau juga tidak dapat memadam memori bagaimana Allahyarham sentiasa menemaninya untuk makan di luar bersama sejak dua tahun lalu kerana Azizah tidak boleh memasak akibat penyakit yang dihidapinya.

"Selama dua tahun setiap hari kami akan makan bersama di luar kerana keadaan kesihatannya yang mula merosot dan tidak boleh memasak ketika itu.

"Peluang itu juga kami gunakan untuk berbual mengenai pelbagai perkara dan sekarang saya masih meneruskan rutin untuk makan di restoran tetapi tidak bersamanya lagi. Suasana itu kini berbeza," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Azizah menghembuskan nafas terakhir 26 April lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 11.26 malam, akibat menghidap kanser pangkal rahim tahap akhir, selain penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Allahyarham meninggalkan tiga orang cahaya mata iaitu Khir, 40, Ilmi, 39 dan Azmi, 35 selain enam orang cucu.

Dalam pada itu, A Rahman berkata, beliau kini banyak menghabiskan masanya dengan anak bongsunya, Azmi yang tinggal bersamanya di rumah mereka di Ampang, Kuala Lumpur.

"Walaupun rasa kehilangan, hidup masih perlu diteruskan dan saya bersyukur kerana anak bongsu tinggal bersama saya dan tidaklah terlalu berasa sunyi.

"Tambahan pula saudara mara dan adik-beradik sering bertandang ke rumah dan kehidupan lebih terisi," jelasnya.

Bagaimanapun kata A Rahman, beliau terkilan apabila isterinya tidak sempat untuk melihat Azmi menamatkan zaman bujangnya dengan pilihan hati.

"Arwah selalu beritahu nak tengok anak bongsunya berkahwin namun tiada rezekinya berbuat demikian," katanya.

Sementara itu, A Rahman memberitahu, walaupun tiada pembantu rumah, setiap hari beliau akan melakukan kerja-kerja rumah sendiri seperi mengemas, membasuh baju dan sebagainya.

Beliau juga tidak mempunyai masalah membuat kerja-kerja tersebut kerana telah terbiasa membantu arwah isteri sebelum ini.

"Kini saya buat semua sendiri kerja-kerja di rumah dan sekurang-kurangnya dapat saya bergerak aktif dan bersenam selain dapat menghilangkan rasa bosan," katanya.

Dalam perkembangan lain, A Rahman berkata, beliau akan meneruskan kerjayanya sebagai penyanyi dan akan memenuhi undangan sekiranya ada walaupun kali ini tanpa isterinya lagi di atas pentas.

Artikel Lain