suria

Pementasan Tun Dr Siti Hasmah Bermula 9 November Depan

(Dari kiri) Penerbit ‘Tribute’ Teater Tun Dr Siti Hasmah Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, Ketua Pengarah Istana Budaya Datuk Mohamed Juhari Shaarani, aktres Lisa Surihani, Datin Seri Maznah Rais, Tun Dr Siti Hasmah, Tan Sri Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin, pengarah Erma Fatima dan Sofia Jane pada pengumuman tarikh baru pementasan teater berkenaan di Istana Budaya di sini, Jumaat. - Foto oleh ART CHEN

KUALA LUMPUR: Penundaan pementasan ‘Tribute’ Teater Tun Dr Siti Hasmah ke tarikh baru iaitu pada 9 hingga 19 November depan bertujuan untuk memberikan lebih masa kepada sesi latihan dan persiapan teknikal karya itu.

Pengerusi World Islamic Network Television, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan selaku penerbitnya berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mahu melakukan beberapa pembaharuan selepas melalui beberapa dugaan dan cabaran sebelum ini.

“Cabaran yang terpaksa kami hadapi iaitu untuk mendapatkan keizinan Tun Dr Siti Hasmah, penarikan diri pengarah asal Adlin Aman Ramlie pada saat-saat akhir, faktor kesuntukan persiapan, pengunduran Erra Fazira kerana pertindihan jadual dan pengarah baru Erma Fatima terpaksa merombak skrip baru membawa kepada penundaan ini.

“Penundaan kepada tarikh baru ini memberikan waktu persiapan yang lebih rapi selain ia akan berlangsung pada musim cuti persekolahan penggal akhir tahun, sekali gus memberikan peluang kepada semua peringkat umur untuk menonton teater ini,” katanya.

Khairuddin berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman tarikh rasmi pementasan tersebut di Istana Budaya di sini, Jumaat.

Turut hadir Dr Siti Hasmah, penaung teater Tan Sri Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin, isteri Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datin Seri Maznah Rais, Ketua Pengarah IB Datuk Mohamed Juhari Shaarani, penerbit eksekutif Datin Umie Aida, pengarah Erma Fatima dan barisan pelakon teater itu.

Turut diumumkan dua aktres baru yang menggantikan Erra Fazira untuk watak Tun Dr Siti Hasmah iaitu Lisa Surihani sebagai watak Tun Hasmah muda dan Datin Sofia Jane (watak Tun Hasmah pada usia pertengahan sehingga kini).

Dalam pada itu, Erma Fatima berkata, penundaan ke tarikh baru membuatkan dia berasa lega kerana mempunyai waktu yang cukup untuk mementaskan teater itu dengan sebaik mungkin.

“Ketika saya dihubungi Umie pada Ramadan lalu untuk menggantikan Adlin yang menarik diri pada saat-saat akhir, memang saya anggap ia sebagai perkara “gila” kerana kesuntukan masa untuk melakukan persiapan pementasan ini.

“Saya bimbang untuk ambil tugas pengarah kerana menyedari saya masih terikat dengan penggambaran drama bersiri Kau Yang Terindah hingga 14 September ini. Persiapan untuk naskhah tokoh sebesar Tun Dr Siti Hasmah bukan perkara mudah seperti menghasilkan skrip fiksyen.

“Tumpuan yang mendalam dan kajian terperinci perlu saya berikan agar ia dapat memaparkan Tun pada sisi berbeza yang tidak pernah diketengahkan sebelum ini. Tiada penekanan pada elemen politik, sebaliknya saya menekankan kepada perjuangan dan pengorbanan wanita hebat ini bergelar wanita nombor satu negara,” katanya.

Mengenai pemilihan Lisa dan Sofea sebagai tokoh wanita kesayangan ramai itu, Erma berkata, dia mahu memberikan peluang kepada Lisa untuk merasai pengalaman berlakon teater, manakala pengalaman bekerja dengan Sofea dalam teater Natrah sebelum ini memudahkan lagi kerjasama itu.

“Saya mahu memberikan peluang kepada Lisa untuk melengkapkan profilnya sebagai pelakon dengan membintangi pentas teater. Dia juga mempunyai pengikut yang ramai, sekali gus memberikan kelebihan tarikan komersial kepada teater ini.

“Bagi Sofia pula, saya pernah bekerjasama dengannya dalam teater Natrah sebelum ini, jadi daripada aspek lakonan saya tidak melihat sebarang masalah untuk dia menterjemahkan Tun pada pementasan ini,” katanya yang mengakui skrip dan plot baru dirombak itu masih dalam proses penulisan dan baru 20 peratus siap.

Teater ini turut dibintangi Esma Daniel sebagai Tun Dr Mahathir dewasa dan Nazim Othman (watak Tun ketika muda) bersama kira-kira 25 pelakon lain.

Tarikh asal pementasan sepatutnya pada 30 Ogos hingga 8 September ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain