suria

Suara Empat Artis Dipilih Untuk ‘Supersquad The Movie’

KUALA LUMPUR: Buat pertama kalinya, empat selebriti popular tanah air iaitu Aaron Aziz, Dafi, Diana Danielle dan Radhi Khalid menyumbang suara dalam filem animasi 3D terbaru iaitu Supersquad The Movie.

Menurut penerbitnya yang juga Pengarah Urusan Netcarbon Sdn Bhd, Rashdan Ramlee, penggunaan suara empat selebriti itu bagi setiap karakter untuk filem yang akan ditayangkan pada Disember 2013 itu antara pelaburan yang termahal iaitu sebanyak RM6 juta.

"Sebagai sebuah syarikat animasi tempatan, pihak kami teruja untuk menerbitkan Supersquad The Movie.

"Dengan adanya barisan pelakon hebat serta penglibatan juruanimasi profesional, saya percaya hasilnya juga akan bermutu. Semoga ia memenuhi cita rasa penonton filem animasi tempatan," katanya.

Tambah Rashdan yang juga pengarah filem tersebut, proses penerbitan Supersquad The Movie mengambil masa selama 24 bulan dan ia telah pun bermula sejak Disember tahun lalu.

Dalam pada itu, proses pembikinan yang dilakukan di studio animasi Netcarbon itu melibatkan hasil kerja seramai 45 juruanimasi tempatan.

"Setakat ini, kami bangga dan sangat berpuas hati dengan hasil kerja juruanimasi kami. Dengan menggunakan teknik hybrid-motion capture dan keyframing, animasi yang dihasilkan akan berkualiti tinggi," ujarnya.

Supersquad The Movie mengisahkan pengembaraan lima adiwira untuk menyelamatkan bumi daripada dimusnahkan oleh makhluk asing.

Kisah bermula sekitar tahun 2413 apabila Supersquad merentas masa kembali ke tahun 2013 apabila mendapati makhluk asing sedang menyerang bumi.

Walaupun pasukan tentera bumi yang diketuai oleh laksamana Aaron pada mulanya berjaya menumpaskan makhluk-makhluk tersebut, namun, ratunya telah menukar perancangan dengan membuka portal ke zaman kini sehingga menyebabkan pasukan tentera bumi dihapuskan oleh tsunami masa.

Dalam filem tersebut, Diana telah menyumbangkan suaranya bagi watak Elly, Aaron Aziz (Laksamana Aaron), Dafi (Kapten Danny), Radhi Khalid (Blinq), Marina Tan (Alan), Elza Irdawati (Sasha) dan Megat Sharizal (Zeeboz).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain