suria

Aziz Sattar Tidak Berminat Sertai Semula Karyawan

Aziz Sattar
Aziz Sattar
Aziz Sattar

PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak veteran Datuk Aziz Sattar tidak berminat untuk menerima pelawaan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez bagi menyertai semula persatuan itu.

Aziz atau nama sebenarnya Abdul Azez Satta, 87, berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk menjaga hubungan silaturahim dengan Freddie mahupun ahli-ahli persatuan berkenaan tetapi tidak berhasrat untuk bekerjasama di bawah pertubuhan itu.

“Saya minta maaf kerana tidak dapat tunaikan pelawaan Karyawan walaupun sudah beberapa kali mereka meluahkan keinginan untuk menjemput saya sebelum ini menyertai semula persatuan itu.

“Pada waktu ini, saya tidak lagi berminat untuk bersama mereka. Namun, itu tidak bermakna kami masih bermasam muka kerana saya dengan Freddie mahupun ahli persatuan itu tiada sebarang masalah sekarang,” katanya.

Aktor filem Seniman Bujang Lapok ini berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan dikeluarkan Freddie sebelum ini yang mahu berdamai dan mengundang beliau untuk berkhidmat semula dalam Karyawan.

Kemelut antara mereka tercetus selepas keahlian Aziz dipecat selepas aktor veteran itu mendakwa berlakunya penyelewengan wang dalam persatuan terbabit pada 2008.

Aziz berkata, keutamaannya pada waktu ini adalah untuk berbakti dan memperjuangkan hal ehwal rakan-rakan artis seangkatannya menerusi Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAV) yang kini sudah tiga tahun ditubuhkan.

“Saya tidak boleh sertai semula Karyawan kerana kesetiaan dan keutamaan kini adalah pada PKAV yang menjaga dan menguruskan hal ehwal artis-artis veteran.

“Saya tidak boleh khianati rakan-rakan ini dan pergi kepada Karyawan pula kerana mereka (artis veteran) lebih memerlukan khidmat dan tenaga saya bagi memperjuang dan melindungi hak kami,” katanya yang menggalas tugas pemangku Presiden selepas kematian Datuk Ismail Hudson pada 21 Julai lalu.

Mengenai status kesihatannya, Aziz berkata, keadaannya bertambah sihat dan stabil selepas memakan ubat-ubatan dan doa semua pihak.

“Kesihatan saya semakin baik. Sakit pun sikit-sikit sahaja dan terkawal. Syukur kepada Allah, berkat doa, ubat dan sokongan keluarga, rakan-rakan dan peminat saya kembali memandu seperti biasa,” katanya.

Aziz dimasukkan ke Hospital Ampang dekat sini pada 23 Jun lalu kerana serangan sakit jantung.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain