suria

Empat Pengacara Popular Gegarkan ABPBH 2011

Dari kiri: Sharifah Shahira, Zizan Razak, Raja Azura dan Didie Alias.
Dari kiri: Sharifah Shahira, Zizan Razak, Raja Azura dan Didie Alias.
Dari kiri: Sharifah Shahira, Zizan Razak, Raja Azura dan Didie Alias.

SUBANG JAYA: Empat nama besar iaitu Raja Azura, Sharifah Shahira, Didie Alias dan Zizan (Raja Lawak) bakal menggalas tanggungjawab sebagai pengacara Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2011).

Penyampai radio Sinar FM, Raja Azura ketika ditemui berkata, dia gembira dapat digandingkan dengan tiga lagi pengacara tersebut pada malam itu dan berjanji akan memberikan persembahan terbaik.

Lebih mesra dengan sapaan Kak Engku, dia memberitahu walaupun bilangan pengacara itu agak ramai untuk sesebuah siaran langsung namun dia yakin dapat melakukan kerjasama dengan baik.

"Kita akan berlatih bagi memastikan semuanya berjalan lancar malah saya sudah biasa bekerja dengan Shahira dan Zizan.

"Bagaimanapun saya yakin Didie akan dapat menyesuaikan diri dengan kami nanti," ujarnya ketika ditemui pada majlis Pra-Kemuncak ABPBH di Holiday Villa Hotel & Spa di sini pada Rabu.

Ia turut dihadiri oleh Pengarang Kumpulan Berita Harian yang juga selaku Penaung ABPBH 2011 iaitu Datuk Mior Kamarul Shahid, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Berita Harian, Mahfar Ali dan Pengarang Bersekutu Edisi Mingguan merangkap Pengerusi Bersama ABPBH 2011, Hanizam Abdullah.

Dalam pada itu, Didie ketika ditemui berkata, walaupun sedikit gemuruh kerana pertama kali digandingkan dengan pengacara berpengalaman namun dia yakin dapat melunaskan amanah tersebut dengan baik.

Didie memberitahu, dia teruja diberi peluang mengacarakan anugerah besar dan ditonton oleh jutaan peminat dan peluang itu tidak akan disia-siakan.

"Gemuruh sebenarnya tetapi dengan pengacara lain memang kita saling mengenali jadi Insya-Allah tidak akan ada masalah," ujarnya.

Selain mengumumkan barisan pengacara, majlis tersebut turut mendedahkan barisan penyampai trofi dan artis yang bakal membuat persembahan di malam kemuncak ABPBH 2011.

Gandingan artis dan personaliti baru, muda serta yang lama menjanjikan malam anugerah itu akan lebih mantap dan menghiburkan.

Antara artis yang bakal menyampaikan trofi pada malam tersebut antaranya Datuk Yusof Haslam, Datuk DJ Dave, Datin Seri Normala Samsuddin, Adi Putra, Afdlin Shauki, Erra Fazira, Fazura dan Wan Maimunah.

Selain itu Datuk M. Nasir, Datuk Shiela Majid, Datuk Siti Nurhaliza, Alyah, Adira, Anuar Zain, Aizat, Azlan Typewriter, Black, Najwa Latif, Ramlah Ram dan Jaclyn Victor.

Pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS bakal mengiringi persembahan artis pada malam itu nanti.

Tambah menarik barisan pelakon seperti Lisdawati, Fauzi Nawawi, Aaron Aziz, Maria Farida, Maya Karin, Watie (Elite) dan beberapa nama lain turut membuat persembahan istimewa.

Dalam pada itu, ABPBH 2011 bakal mengangkat tema “Larger Than Life” untuk artis-artis yang bakal hadir nanti. Sementara itu, pada majlis petang Rabu, turut disampaikan hadiah kepada pemenang pereka popular bagi busana tercantik ABPBH 2010.

Ia dimenangi oleh pereka fesyen Rizman Ruziani dan Lord's Tailor kerana telah menyediakan pakaian tercantik untuk Siti Nurhaliza dan Shahiezy Sam pada anugerah serupa tahun lalu.

Kemuncak ABPBH 2011 akan diadakan pada 8 April depan di Arena of Stars, Genting Highlands dan akan disiarkan secara langsung di TV3 dan Hot FM.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain