suria

MLM: Kumpulan Anje Jangka Terkeluar

Kumpulan Anje.
Kumpulan Anje.
Kumpulan Anje.

SHAH ALAM: Kumpulan Anje yang tersingkir pada minggu ketiga pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) sudah menjangkakan akan tersingkir pada konsert minggu ketiga pada Jumaat.

Joey atau nama sebenarnya Zulkifli Daud berkata, dia dan Achong telah menyangka akan tersingkir selepas mendapat kritikan pedas daripada salah seorang juri tetap iaitu chef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail (Chef Wan).

"Dengan komen yang diterima daripada Chef Wan kami telah menyangka akan terkeluar malam ini tetapi menerima kritikan tersebut dengan hati terbuka," ujarnya yang ditemui pada sidang media selepas tamat konsert MLM di sini.

Joey memberitahu untuk persembahan pada minggu ketiga mereka telah menyediakan 10 ke 15 lakaran persembahan sebagai persediaan yang nyata tidak berjaya menarik hati peminat dan juri.

"Bukan senang untuk membuat jenaka di atas pentas kerana sebelum ini hanya biasa melakukan persembahan nyanyian tetapi kami telah mencuba yang terbaik untuk menarik minat semua," ujarnya.

Sementara itu, Achong atau nama sebenarnya, Ahmad Fauzi Manat memberitahu antara faktor lain persembahan mereka lemah pada minggu ini adalah kerana terlalu memikirkan kedudukan mereka di MLM sejak minggu lalu.

Ujarnya, kedudukan mereka di kalangan tujuh peserta terbawah pada minggu kedua dan akan disingkirkan pada awal minggu ketiga menambahkan tekanan kepada mereka.

"Kedudukan tidak menentu kerana minggu kedua tidak ada penyingkiran dan hanya akan dilakukan pada minggu ketiga.

"Ia menambahkan lagi tekanan pada kami dalam memberikan persembahan terbaik," ujarnya.

Terdahulu, seramai enam peserta Maharaja Lawak Mega yang mendapat markah terendah disingkirkan pada minggu ketiga program itu.

Daripada jumlah itu, lima peserta telah disingkirkan terlebih dahulu sebelum konsert berlangsung adalah kumpulan Lanun, Comel, Gebu, Caer dan Rap.

Manakala kumpulan Anje gandingan Joey dan Achong tersingkir pada akhir minggu ketiga konsert berlangsung dengan peratusan terendah sebanyak 39 peratus.

Kumpulan Pi Mai mendahului dengan (62 peratus) diikuti 3G (62 peratus), Boboi (57 peratus), Saehu (55 peratus), Osbon (53 peratus).

Manakala Hiro (49 peratus), JH (48 peratus), Bawel (47 peratus), BP (47 peratus), Adlin (46 peratus), Syok (42 peratus) dan Anje (39 peratus).

Maharaja Lawak Mega disiarkan pada pukul 10 malam, setiap Jumaat di saluran Astro 132.

Artikel Sebelum

Sentuhan Puitis J.Cole

Artikel Berikut

Aizat Ungguli AIM18?

Artikel Lain