suria

'Salam Baitullah' Program Khas Haji Di TV1

PETALING JAYA: Bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha pada bulan depan, TV1 akan menyiarkan secara langsung program khas berjudul Salam Baitullah.

Program selama 20 episod itu akan bersiaran mulai 23 Oktober hingga 11 November depan, pukul 9 malam.

Salam Baitullah bertujuan memberi maklumat kepada umat Islam yang bakal menunaikan Haji serta aktiviti dan operasi ibadah tersebut di Tanah Suci, Mekah.

Pada masa sama program ini juga memaparkan peranan Malaysia yang aktif sebagai negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) khususnya dalam bidang penyiaran aktiviti haji.

Selain itu, penonton boleh membuat ucap selamat kepada bakal haji menerusi telefon atau SMS semasa program tersebut disiarkan. RTM akan turut menyiarkan ucapan jemaah dan menemu bual mereka bagi tontonan keluarga jemaah di Malaysia.

Program yang disiarkan selama satu jam ini, dikendalikan oleh Profesor Madya Dr Ridhuan Tee Abdullah, bersama tetamu jemputan bagi membincangkan topik yang dipilih.

Sementara itu, Salam Baitullah mula diperkenalkan pada tahun 2009 dengan siaran sebanyak empat episod dengan kerjasama Iqra’ TV Mekah.

Skop liputan Salam Baitullah merangkumi aktiviti Tabung Haji Malaysia dan Kementerian Penerangan Arab Saudi (Tetamu Haji), liputan berkaitan hal jemaah seluruh dunia, berita haji, maklumat haji, tempat-tempat menarik, peristiwa menarik, temu ramah dengan pihak berkuasa, organisasi haji dan jemaah, pembangunan infrastruktur di Jeddah, Mekah, Madinah, Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Program ini ditaja oleh Bank Rakyat.

Artikel Lain