suria

'Paparazzi' Terbitan KRU Dapat Sambutan Hangat

Ana Raffali
Ana Raffali
Ana Raffali

KUALA LUMPUR: Walaupun baru bersiaran, program hiburan terbitan KRU TV, Paparazzi yang disiarkan menerusi laman web www.tonton.com.my berjaya tersenarai antara lima program paling diminati penonton menerusi saluran tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim, pencapaian itu cukup memberangsangkan kerana ia merupakan program penerbitan pertama yang berjaya menarik minat penonton Internet.

"Saya pun tak sangka yang Paparazzi mampu menarik minat penonton dalam jangka masa yang pendek. Malah Paparazzi kini berada di belakang program-program hiburan popular di televisyen seperti Melodi, Galaksi, Fuhh! dan Chopp!.

"Mungkin kerana ia disiarkan melalui saluran Internet dan bukan media komersial, ia sedikit sebanyak membantu menaikkan rating jumlah penonton," katanya.

Paparazzi yang menampilkan dua pendatang baru iaitu Neelofa dan Sharifah Sakinah mula disiarkan melalui laman web www.tonton.com.my sejak Jun lalu dan ia menampilkan cerita hangat sepanjang minggu yang berlaku dalam industri hiburan tempatan dan Indonesia.

Tambah Norman, pihaknya turut mempunyai wakil media yang membuat laporan mengenai perkembangan selebriti-selebriti dari negara seberang itu.

"Bagaimanapun, berita hangat yang dipaparkan tidaklah terlalu sensasi atau sering menyiarkan gosip-gosip panas tetapi ia lebih melaporkan tentang perkembangan seseorang artis itu." ujarnya.

Sementara itu, bersempena dengan sambutan Aidilfitri, Paparazzi akan menyiarkan siaran khas pada minggu pertama Aidilfitri dengan menampilkan beberapa persembahan artis istimewa yang antaranya seperti Aman Shah, Ana Raffali, One Nation Emcees, Farawahida dan artis-artis yang bernaung di bawah KRU Studios seperti VIP dan Iqa (Mentor).

Selain itu pelakon Aina Suzaily dan pelawak Along (Raja Lawak) turut dijemput mengacara bersama-sama dengan Neelofa dan Sakinah.

Pada program tersebut, empat pengacara tersebut akan beramah mesra dengan beberapa selebriti jemputan seperti Zain Saidin, 6ixth Sense, Elfira Loy, Dafi, mawi dan ramai lagi.

Artikel Berikut

Artikel Lain