suria

Normah Damanhuri Tidak Pilih Bulu

Normah Damanhuri hadir pada sesi pratonton filem terbarunya ... Dalam Botol di Finas, baru-baru ini. - Foto The Star oleh SHAARI CHE MAT
Normah Damanhuri hadir pada sesi pratonton filem terbarunya ... Dalam Botol di Finas, baru-baru ini. - Foto The Star oleh SHAARI CHE MAT
Normah Damanhuri hadir pada sesi pratonton filem terbarunya ... Dalam Botol di Finas, baru-baru ini. - Foto The Star oleh SHAARI CHE MAT

KUALA LUMPUR: Pelakon veteran Normah Damanhuri, 57, tidak pernah mengamalkan sikap memilih atau selektif terhadap sebarang tawaran lakonan yang diterimanya, tidak kiralah di bawah arahan pengarah baru ataupun yang berpengalaman.

Jelas Normah, dia tidak pernah memandang rendah kebolehan mana-mana pengarah baru termasuk pengarah filem terbarunya ... Dalam Botol iaitu Khir Rahman walaupun sudah berlakon lebih 30 tahun dan sering bekerja dengan pengarah-pengarah hebat sebelum ini.

Normah yang begitu sinonim dengan filem-filem arahan pengarah berkaliber U-Wei Hj Shaari seperti Jogho, Perempuan, Isteri dan ...? dan terbaru Hanyut, menyangkal dakwaan yang melabelnya sebagai pelakon yang bersikap pilih bulu dan hanya ingin bekerja dengan pengarah dan naskhah yang hebat saja.

"Saya begitu menghormati mana-mana pengarah filem atau drama yang pernah saya bintangi. Walaupun sudah berpengalaman dalam bidang lakonan lebih 30 tahun, saya tiada masalah untuk menerima arahan daripada pengarah atau produksi baru.

"Apabila menerima tawaran tidak kiralah besar atau kecil sekalipun peranannya, saya akan buat kerja sedaya upaya agar lakonan yang dipersembahkan itu meninggalkan impak kepada penonton," katanya yang ditemui pada sesi pratonton filem ... Dalam Botol di Studio Digital Mixstage Finas di Kompleks Merdeka, Hulu Kelang, baru-baru ini.

Mengulas tentang pertanyaan selama mana akan terus berlakon, pemenang anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Anugerah Skrin 2008 ini berkata, lakonan bagaikan sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya dan tidak pernah terfikir untuk bersara selagi khidmatnya masih diperlukan.

Walaupun mengakui sering kepenatan ekoran faktor usia yang kian meningkat, Normah memperolehi kekuatan dan motivasi untuk terus bekerja kerana minat yang terlalu mendalam terhadap bidang itu.

"Kalau diikutkan memang saya penat kerana masih aktif berlakon pada usia begini. Namun, minat dan cinta yang mendalam terhadap bidang lakonan adalah kekuatan dan motivasi saya untuk terus bekerja.

"Walau letih sekalipun, saya seronok dengan kerja ini dan akan terus berlakon selagi diperlukan," katanya yang baru saja selesai penggambaran filem Songlap bersama produksi Red Films.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain