suria

Belasungkawa Yalal Chin: Perginya Guru Lakonan Yang Disegani

ORANG terdekat dengan pelakon dan pengarah Yalal Chin, 67, menganggap pemergian beliau pada 12.15 pagi, Sabtu bagaikan suatu perkara yang tidak disangka.

Bagaikan baru semalam, mereka bergelak ketawa dan saling bergurau senda memandangkan sifat pemilik nama Yalal Abu Achin yang tak pernah duduk diam, peramah dan ceria ini.

Kini suara dan tingkah laku seumur hidup Allahyarham pasti disimpan dalam kenangan sampai bila-bila.

Yalal meninggal dunia kerana sakit jantung dan komplikasi pendarahan dalam otak di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras.

Sebelum ini Allahyarham ditempatkan di Unit Rawatan Jantung (CCU) di HUKM sejak 3 Oktober lalu.

Jenazah Allayarham selamat dikebumikan di kampung halamannya di Tanah Perkuburan Islam Kelemak, Alor Gajah, Melaka pada pukul 11.30 pagi, Sabtu.

Sepanjang pembabitan Allahyarham dalam industri seni tempatan, beliau tidak pernah kedekut ilmu lakonannya.

Beliau pernah bergelar pengarah, pengurus produksi dan jururunding skrip.

Bagaikan memahami situasi artis baru yang masih hijau dalam industri lakonan, beliau sering menasihat dan menurunkan ilmu yang ditimba dalam lakonan kepada pelakon yang pernah bekerjasama dengannya.

Malah, Allahyarham menyifatkan dalam banyak-banyak bidang profesional di dunia ini, bidang lakonan merupakan bidang yang paling sukar untuk dilakukan.

Yalal pernah muncul dalam filem Misteri Jalan Lama, Paloh dan Wanita Bertudung Hitam, telefilem Aku Yang Aku Cari, drama bersiri Ezora, Wadi Unung, Di Situ Ada Cinta, Abadi Sebuah Cinta, teater Puteri Gunung Ledang The Musical 3 dan Bangsawan Naga Chini.

Dalam berkarya, Allahyarham sanggup mengeluarkan duit sendiri tanpa pernah memikirkan tentang keuntungan. Beliau juga dikenali sebagai seorang yang tidak pernah mengenal erti penat dalam menjalankan sesuatu kerjanya di kalangan sahabat handai dalam industri.

Berbakat besar dalam dunia seni, setiap kerja yang dilakukan berlandaskan hati yang ikhlas tanpa meminta sanjungan populariti yang meninggi.

Pelakon Azhan Rani yang rapat dengan Allahyarham sejak tahun 1997 lalu menganggap Yalal merupakan guru yang baik, berbakat tetapi dipinggirkan.

“Walaupun tidak mengecapi populariti sekalipun, Allahyarham tidak pernah mengalah kerana dia lakukan bukan untuk popular.

“Pasti saya akan merindui lakonan Allahyarham. Kepada keluarganya, semoga tabah dan redha dengan pemergiaan beliau,” katanya yang sempat melawat jenazah Allahyarham ketika upacara mandikan jenazah di HUKM, awal pagi Sabtu.

Sementara itu, balu Allahyarham iaitu Suryani Mohd Yusof, 37, sempat berkongsi kenangan sepanjang bergelar isterinya.

“Arwah suka buat lawak dan penyayang. Saya akan ingat kasih sayang yang dia curahkan sampai bila-bila. Dia juga seorang yang suka duduk rumah dan makan masakan saya.

“Saya rasa semua hajatnya sudah tercapai dan dia pergi dengan tenang,” beritahunya dalam nada tenang ketika dihubungi.

Allahyarham juga pernah menjadi Pegawai Kebudayaan Universiti Sains Malaysia (USM) dan mengajar seni persembahan di universiti tersebut.

Takziah diucapkan kepada seluruh keluarga Allahyarham dan semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah.

Artikel Sebelum

Artikel Lain