suria

Ameng Dakwa Kes Dadah Satu Konspirasi Bekas Isteri Dan Suami

Ameng diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Majistret, pada 7 September lalu terhadap tuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya. - Foto THE STAR Oleh AZLINA ABDULLAH
Ameng diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Majistret, pada 7 September lalu terhadap tuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya. - Foto THE STAR Oleh AZLINA ABDULLAH
Ameng diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Majistret, pada 7 September lalu terhadap tuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya. - Foto THE STAR Oleh AZLINA ABDULLAH

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Spring, Ameng mendakwa kes dadah yang sedang dihadapinya sekarang merupakan satu konspirasi atau pakatan secara sengaja yang dibuat oleh bekas isteri, Zaidah Awang atau lebih dikenali sebagai A. Aida dan suaminya, Asisten Supritendan Suffian Sulaiman dari Bukit Aman.

"Saya tidak puas hati dan anggap kejadian yang menimpa saya adalah satu konspirasi atau pakatan secara sengaja yang dibuat oleh bekas isteri dan suaminya dengan tujuan untuk melihat saya derita.

"Dan ini sekali gus merosakkan kerjaya saya dan juga burukkan nama baik saya," kata Ameng atau nama sebenarnya, Wan Aminuddin Wan Ismail, 42.

Dia berkata demikian kepada Majistret Zaki Asyraf Zubir semasa menjawab pertanyaan peguamnya, Kamarul Zaman Abdul Rahman di Mahkamah Majistret di sini, Selasa.

Ameng hadir bersama isterinya, Sabariah Zakaria yang turut menjadi saksi dalam perbicaraan hari ini, dan anak mereka, Wan Ahmad Haizal, 3.

Dia diarahkan membela diri atas tuduhan memasukkan dadah ke dalam badan semasa ditahan di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul di sini, pada pukul 3.45 pagi, April lalu.

Pendakwaan terhadapnya dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketika memberikan keterangan, Ameng berkata, pada 3 April lalu, Ameng mengakui dia ada menghubungi bekas isteri melalui satu khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk menjemput kedua-dua anak perempuan yang berada di bawah pengawasan A. Aida sempena cuti sekolah.

Bagaimanapun, bekas isterinya itu tidak membenarkannya berbuat demikian dan sekali gus tidak memberikan keizinan kepadanya untuk berjumpa dengan kedua-dua anaknya sampai bila-bila.

Sehari kemudian, Ameng berkata, dia dihubungi Suffian dan mendakwa suami bekas isterinya itu berkata: "Sekiranya saya hubungi isterinya dan ganggu rumah tangga mereka, dia akan memasukkan saya ke dalam penjara."

Pada 6 April lalu, dia telah dihubungi pegawai polis, Inspektor Nor Zahirah dari Balai Polis Setapak memberitahu dia telah menerima satu aduan yang dibuat oleh ASP Suffian dan juga aduan Zaidah.

Aduan tersebut adalah berhubung dengan dakwaan A. Aida bahawa Ameng telah mengugutnya pada 3 April lalu kerana enggan membenarkan penyanyi itu berjumpa dengan dua anak perempuannya. Mereka berusia 14 dan 9 tahun.

Menurut Ameng, dia pergi ke balai polis tersebut untuk memberikan keterangan pada pukul 2.30 petang dan telah disoal siasat oleh Inspektor Nor Zahirah selama kira-kira tiga jam.

Katanya, selepas itu, Nor Zahirah memberitahu dia perlu menjalani ujian saringan air kencing di Balai Polis Sentul.

Ameng berkata dia yakin Suffian yang memberikan arahan bagi dia menjalani ujian saringan kerana dia diberitahu oleh Nor Zahirah dan dia terpaksa mematuhi arahan Suffian yang merupakan orang atasannya.

Dia mendakwa, telah dibawa ke Balai Polis Sentul oleh empat anggota polis dari Balai Polis Setapak untuk ujian tersebut.

Dakwanya lagi, pegawai terbabit yang menjalankan ujian tersebut tetapi dia tidak dapat melihat botol berisi air kencingnya diuji kerana asyik berbual dengan mereka selain dilindungi tubuh badan mereka.

Mahkamah memutuskan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis pada 25 Oktober ini, 8.30 pagi.

Ameng yang merupakan seorang penyanyi sepenuh masa mendirikan rumah tangga dengan A. Aida pada 1995 dan bercerai pada 2000. Hasil perkongsian hidup mereka dua anak perempuan.

Dia kemudiannya berkahwin dengan isteri kedua, Sabariah Zakaria pada 2004 dan memperoleh seorang anak lelaki, Wan Ahmad Haizal, 3.

Artikel Lain