suria

Tomok Berlatih Silat Dua Minggu

DEMI menjayakan babak silat dalam filem keduanya, Mantera, juara One In A Million (OIAM) musim ketiga, Tomok (gambar) menghabiskan masa selama dua minggu untuk berlatih dengan guru silat bertauliah.

Lebih menyukarkannya, Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, 26, perlu beraksi dengan sesuatu yang tiada di depan matanya dalam filem bergenre aksi itu.

Jadi, penyanyi dari kumpulan Newboyz ini perlu menggunakan imaginasi yang tinggi kerana filem ini bergantung kepada teknik janaan imej berkomputer (CGI) sebanyak 40 peratus dengan bantuan produksi Flave Studio.

“Saya sukar untuk beritahu filem Mantera ini seperti filem apa tetapi hanya bayangkan ia seperti filem Iron Man dan Transformer.

“Ini kerana saya melakonkan watak superhero robotik bernama Azman. Filem ini masih dalam proses penggambaran dan perlu menjalani lagi 20 peratus penggambaran di Malaysia.

"Filem ini juga telah menjalani penggambaran di Dubai selama dua minggu pada bulan Februari lalu,” kata Tomok kepada mStar Online.

Selain berlakon dengan pelakon Malaysia, Shiqin Kamal (Dina), penyanyi lagu Rinduku Terhenti ini turut berlakon dengan pelakon Arab dan Rusia dalam filem kerjasama antara produksi Rusia-Malaysia ini.

“Saya rasa bertuah apabila mendapat pengalaman berlakon dengan pelakon dari luar negara dan terpilih untuk sama-sama menjayakan filem ini.

“Jika mengikut perancangan, filem ini dijadualkan ditayang pada pertengahan tahun depan,” ujarnya lagi.

Selain filem ini, ada perkara lain yang turut membuatkan dia truja iaitu penghasilan album solo pertamanya yang akan berada di pasaran sekitar bulan Oktober ini.

"Saya terpaksa merahsiakan tajuk album solo bergenre pop rock ini kerana saya dan pihak Monkey Bone mahu memberikan kejutan kepada semua. Antara komposer yang terlibat dalam pembikinan album ini adalah saya sendiri, Aubrey Suwito, Aidit Alfian, Edry Abdul Halim dan Shazee.

“Ia memuatkan 12 buah lagu seperti Rindu Terhenti, Lari, Arjuna dan Bagaikan Bidadari.

"Saya nak sentiasa berjaya dan menghasilkan lagu berkualiti pada masa akan datang,” luah Tomok sebelum menutup bicara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain