suria

'Detektif Lim' Terlepas Hukuman Penjara, Denda

KUALA LUMPUR: Pelakon drama bersiri popular Gerak Khas, Farid Amirul Hisham Abdullah yang memegang watak 'Detektif Lim' mampu menarik nafas lega apabila Mahkamah Tinggi di sini, Jumaat, mengetepikan hukuman dua bulan penjara dan denda RM2,000 yang dijatuhkan terhadapnya tahun lepas, bagi kesalahan mencuri dua buah buku di Mid Valley Megamall, di sini.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Farid Amirul, 44, berhubung sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Majistret di sini pada 17 Disember lalu.

Dalam penghakimannya, Mohd Sofian berkata terdapat kelemahan dalam barang kes iaitu dua buah buku yang didakwa telah dicuri oleh tertuduh.

"Tiada bukti menunjukkan kedua-dua buah buku itu dicuri oleh tertuduh kerana tiada penandaan barang kes yang dibuat oleh pegawai penyiasat. Identiti barang kes itu adalah diragui sama ada barang kes (buku) yang dikemukakan di mahkamah adalah barang kes yang ditemui di tempat kejadian," katanya.

Pada 14 Mei tahun lalu, pelakon itu didakwa mencuri sebuah buku bertajuk Sistine Secrets berharga RM89.90 dan Decoding The Heavens berharga RM105 di Kedai Buku MPH Bookstore, Mid Valley Megamall, pada 7.15 malam 27 Mac lepas, dan dituduh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Faizah Mohd Salleh. Pelakon itu yang diwakili peguam bela Nor Azri Mohd Arif ketika ditemui pemberita melahirkan rasa syukur di atas keputusan itu.

"Saya berasa lega dengan keputusan ini...InsyaAllah selepas ini saya dapat menjalani kehidupan seperti biasa. Keputusan ini juga adalah hadiah untuk orang tua saya terutama ibu yang tidak sihat. Sepanjang perbicaraan kes ini berlangsung ibu bapa saya tidak berapa tenang tetapi kini semuanya sudah berakhir," katanya.

Farid Amirul berkata, beliau juga bersyukur kerana sepanjang melalui kes ini, pengarah terkenal Datuk Yusof Haslam sentiasa menyokong beliau dari belakang dengan memberikan peluang untuk beliau bekerja dengan pengarah itu.

"Disebabkan kes ini, saya tidak dapat memegang mana-mana watak terutama watak yang melibatkan badan beruniform seperti yang dilakonkan saya sebelum ini, bagaimanapun Datuk (Yusof) memberi saya peluang bekerja dengannya di belakang tabir," katanya.

Ketika ditanya pemberita mengenai statusnya kini, Farid Amirul sambil berseloroh berkata: "Saya masih bujang, selepas ini bolehlah sesiapa yang hendak berkahwin dengan saya kerana saya bukan penjenayah". - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zarina Temui Cinta Dengan Pelakon

Artikel Berikut

Ashraf & Bunga Dapat Anak Lelaki

Artikel Lain