suria

One Nation Emcees Perjelas Sikap Sombong

TIDAK dinafikan kumpulan One Nation Emcees (ONE) (gambar) semakin mendaki populariti menerusi lagu-lagu mereka yang diputarkan di corong radio seperti Raja Gelek, Syukur (Kau Yang Satu) dan Apa Ku Kisah.

Walaupun begitu, kumpulan yang terdiri daripada Mohd Norzaidi Edris (Zydee), Nur Hasan Baias (Jojoe) dan Shamimi Amalina Norhisham (Mimi) ini tidak cepat berpuas hati dengan pencapaian itu.

Setelah dua tahun mencuba nasib dalam industri seni tempatan, tidak dinafikan ada cakap-cakap belakang yang mengatakan kumpulan ini mula angkuh dan sombong.

Ironinya, mereka ini hanya manusia biasa dan tidak mampu memenangi hati semua orang. Jadi, apabila ada yang memandang serong, kumpulan ini tidak cepat melenting sebaliknya mengambil pendekatan menyelesaikan setiap masalah dengan cara yang baik.

Pada awal Ogos lalu, One telah kehilangan salah seorang ahli kumpulan mereka apabila Kozae atau nama sebenarnya Mohamed Fareezan Mohamed Murtaza menarik diri daripada kumpulan itu.

Bagaimanapun, mereka cekap menyelesaikan masalah tersebut dengan menjemput penyanyi baru, Sabhi Saddi untuk menyertai kumpulan tersebut buat sementara waktu.

Begitulah perjalanan hidup ONE yang sehingga kini banyak menerima undangan persembahan namun tidak semua undangan itu diterimanya.

“Kami terpaksa tolak beberapa persembahan kerana terlibat dengan rakaman lagu. Walaupun begitu, kami menganggap ONE baru menempa pencapaian pada tahap 30 peratus dan banyak perkara yang kami perlu lakukan untuk terus mendaki.

“Kalau boleh kami nak mencuba muzik yang tidak pernah diteroka oleh orang Malaysia,” kata mereka.

Selepas ini, mereka merancang untuk menguruskan sebuah kumpulan tarian di bawah One Nation Emcees Sdn Bhd. Syarikat tersebut di tubuhkan sejak setahun lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain