suria

Kisah Norman KRU Jumpa Hantu Dalam "Karak"

FILEM Karak akan merungkai pengalaman sebenar penulis skripnya, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU Studios, Norman Abdul Halim yang hampir-hampir kemalangan kerana ternampak hantu.

Bercerita pengalaman itu, kata Norman ketika dia sedang melalui lebuh raya di antara Behrang dan Rawang dia pernah nampak seperti lembaga di kawasan berkenaan.

Selepas peristiwa itu Norman lebih berhati-hati selepas melalui kawasan itu yang dianggapnya ‘keras’.

"Berdasarkan kepada pengalaman itulah saya menulis skirp kisah seram ini berjudul Karak.

"Nama Karak saya berikan kerana saya kerap mendengar kawasan lebuh raya itu juga 'keras'," katanya.

Bercerita tentang filem arahan adiknya iaitu Yusry, idea untuk menghasilkan filem bergenre seram itu adalah untuk mempelbagaikan genre filem terbitan KRU Studios.

Yang pasti, bekas pengetua Akademi Fantasia (AF8) itu menjanjikan kelainan dari segi penceritaan, garapan dan penggunaan tenik penerbitan terkini berbanding filem seram tempatan sebelum ini.

“Filem Karak menghimpunkan kisah seram dan hantu ‘urban legend’ menarik pada era 80-an, 90-an dan tahun 2000 yang menjadi buah mulut orang termasuk pengalaman saya sendiri.

“Saya pernah melihat hantu di Rawang dan hampir kemalangan. Waktu itu, ada dua orang lain yang turut menyaksikan perkara itu. Selain itu, saya ada juga mendengar cerita-cerita seram daripada beberapa artis lain.

“Tetapi saya tak mahu cerita lanjut tentang pengalaman itu. Kita tunggu sahaja filem itu siap nanti,” katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun, Norman berkata dia mempunyai elemen tersendiri iaitu keagamaan, saintifik, sejarah, budaya, mitos dan tidak bersandarkan kepada pengalaman itu semata-mata.

Malah dia mahu menghasilkan cerita yang berbentuk intelektual di mana setiap hantu yang diwujudkan itu melambangkan hantu dari pelbagai budaya dan agama.

“Saya bukan percaya kepada tahyul tetapi tidak dinafikan makhluk halus ini memang wujud. Jika ia datang mengejut, tidak mustahil ia boleh menyebabkan kemalangan.

“Di Malaysia, kita ada banyak cerita hantu yang menjadi bualan mulut orang. Misalnya, masyarakat India, Cina dan Melayu memberikan interpretasi yang berbeza. Hantu menyerupai pelbagai bentuk seperti pontianak, toyol dan manusia.

“Saya buat cerita ini bukan untuk menakut-nakutkan orang tetapi ia memasukkan elemen intelektual. Saya percaya filem di bawah arahan Yusry ini tidak akan mengecewakan penonton,” jelasnya panjang lebar.

Sebelum menghasilkan skrip yang turut dilakonkan oleh juara AF8 Shahir itu, Norman telah melakukan kajian terlebih dahulu perspektif masyarakat mengenai makhluk berkenaan.

Selain itu, dia juga telah mendapatkan nasihat daripada pakar agama yang terdiri daripada penceramah bebas dan pakar dialek Orang Asli kerana filem itu turut memaparkan perkampungan Orang Asli di Pahang.

Filem tersebut akan menjalani penggambaran pada 19 Julai ini. Selain Shahir, semua pelakon dalam filem itu merupakan muka-muka baru.

Artikel Berikut

Artikel Lain