suria

Radhi (OAG) Ceraikan Shazlin Talak Satu

Radhi bersalaman dengan bekas isterinya, Shazlin selepas prosiding mahkamah selesai hari ini. - Foto THE STAR Oleh SHAARI CHEMAT
Radhi bersalaman dengan bekas isterinya, Shazlin selepas prosiding mahkamah selesai hari ini. - Foto THE STAR Oleh SHAARI CHEMAT
Radhi bersalaman dengan bekas isterinya, Shazlin selepas prosiding mahkamah selesai hari ini. - Foto THE STAR Oleh SHAARI CHEMAT

PETALING JAYA: Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini membenarkan sekaligus mengesahkan bekas vokalis kumpulan OAG, Radhi Razali, 33, bercerai dengan isterinya, Shazlin Sharif, 32, dengan talak satu.

Hakim Syarie, Tuan Fazil Che Hasan membuat keputusan tersebut selepas mendengar keterangan daripada kedua-dua pihak plaintif dan defendan menerusi peguam bela masing-masing. Radhi diwakili peguam syarie, Musa Awang manakala Shazlin diwakili Rubiah Jaffar.

Musa mengesahkan anak guamnya (Radhi) bersedia untuk menceraikan plaintif (Shazlin) secara persetujuan bersama dengan terma-terma yang dipersetujui dalam perjanjian persetujuan di antara kedua-dua pihak pada 16 Oktober 2009 untuk bercerai secara baik.

Sementara itu, Rubiah memberitahu mahkamah bahawa plaintif memohon penceraian sebab tidak wujud lagi persefahaman serta tidak tinggal bersama atau menjalin hubungan suami isteri sejak 2008.

"Selepas mendengar keterangan kedua-dua pihak, saya benarkan pihak defendan (Radhi) melafazkan cerai talak satu," kata Tuan Fazil dalam prosiding hari ini.

Radhi hadir mengenakan baju Melayu rona hitam dan berselendang putih manakala Shazlin memakai baju kurung merah jambu dan bertudung putih.

Radhi dalam lafaz sumpahnya di mahkamah berkata: "Saya Radhi menceraikan isteri saya, Shazlin Sharif dengan talak satu."

Mereka turut diarahkan untuk menandatangani dokumen untuk memeteraikan penceraian mereka.

Sejurus itu, Tuan Fazil berkata, mahkamah dengan itu meluluskan permohonan plaintif serta membenarkan defendan melafazkan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003.

Katanya, lafaz cerai dengan talak satu itu berkuatkuasa mulai 8 Jun (hari ini), 3.05 petang dengan beredah selama tiga kali suci.

Mahkamah turut mengarahkan sijil nikah pasangan itu dibatalkan dan penceraian mereka perlulah direkodkan di Jabatan Agama Islam Daerah Petaling.

Sebagai rekod mahkamah, peguam Shazlin, Rubiah membacakan terma-terma yang dipersetujui kedua-dua pihak kepada mahkamah.

"Pertamanya, defendan setuju melafazkan cerai dengan talak satu. Keduanya, defendan setuju memberikan nafkah edah sebanyak RM3,000 untuk selama tempoh edah (RM1,000 x 3).

"Ketiga, nafkah kepada anak mereka Muhammad Rifdhi Muslim,5, sebanyak RM460 sebulan diberikan kepada plaintif serta bayaran insurans pendidikan sebanyak RM200 sebulan. Bayaran tersebut hendaklah dibuat sebelum atau pada 1 hari bulan," katanya.

Selain itu, Rubiah memberitahu, defendan bersetuju membayar insurans pendidikan sebanyak RM200 sebulan dan nafkah tahunan sebanyak RM1,000 setahun.

Tambahnya, bayaran RM1,000 tersebut hendaklah dibayar dua minggu sebelum Hari Raya serta hari jadi Muhammad Rifdhi.

Sementara itu, Radhi ketika ditemui selepas berkata dia bersyukur kerana ia berakhir dengan baik.

Dia turut menyanyikan single terbarunya, Limbo kepada wartawan sehingga tergelak dengan gelagat lucunya yang cuba menyembunyikan kesedihan di hati.

Dalam pada itu, Shazlin berkata dia berasa lega penceraiannya berakhir dengan baik.

Ditanya perasaannya ketika itu, dia hanya berkata: "Apa yang saya rasa sekarang biarlah disimpan dalam hati saya."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain