suria

Ogy tidak ingin drama 'Winter Sonata' berulang dalam hidupnya

Dari kiri: Ogy, Raja Azura, Mahadzir Lokman dan Fara Fauzana adalah tonggak rancangan televisyen 'Melodi', dulu dan sekarang.
Dari kiri: Ogy, Raja Azura, Mahadzir Lokman dan Fara Fauzana adalah tonggak rancangan televisyen 'Melodi', dulu dan sekarang.
Dari kiri: Ogy, Raja Azura, Mahadzir Lokman dan Fara Fauzana adalah tonggak rancangan televisyen 'Melodi', dulu dan sekarang.

SEJAK mengambil Nuraminah Aishah sebagai anak angkat ketika baru berumur 10 hari, aktres dan pengacara popular Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy) berhasrat untuk mempertemukannya dengan lima adik-beradik biologikalnya apabila dia besar nanti.

"Kedua-dua ibu bapanya telah meninggal dunia. Lima adik-beradiknya pula berada di Indonesia. Saya mempunyai misi untuk mempertemukan Aminah dengan adik-beradik biologikalnya di Indonesia apabila dia berumur lapan atau sembilan tahun nanti.

"Saya tidak ingin cerita drama bersiri Korea, "Winter Sonata" berulang apabila adik-beradik saling bercinta," kata Ogy ketika dihubungi mStar baru-baru ini.

Menurut Ogy, dia memilih Aminah yang kini berusia 2 tahun sebagai penyeri hidupnya setelah melihat wajah comelnya yang tersenyum kepadanya dalam satu MMS yang dikirim oleh seorang jururawat selain wajah Aminah mirip wajah ibunya sendiri, seniwati Datin Saadiah Baharum.

Ogy, 47, adalah anak sulung seniman Datuk Ahmad Daud dan seniwati Datin Saadiah Baharum. Aktres berbakat besar ini mewarisi bakat lakonan kedua-dua ibu bapanya.

Dia pernah berlakon dalam filem Hati Batu, Permintaan Terakhir, Permintaan Terakhir, Ceritaku Ceritamu, Abang, Esok Untuk Siapa, Ali Setan, Azura, Puteri, Suara Kekasih dan Gadis Hitam.

Dari segi pengacaraan, Ogy adalah bekas hos program popular seperti 'Melodi', 'Ogy & Salih' di samping menjadi hos utama Anugerah Bintang Popular - Berita Harian di samping menjadi pengkritik tetap Akademi Fantasia musim kelima.

Menurut Ogy, kehadiran Aminah dalam dirinya menurut Ogy, adalah atas kuasa Allah. Ini kerana Aminah baru berumur 10 hari sementara Ogy berumur 45 tahun ketika menerimanya sebagai anak angkat. Hidupnya lebih bermakna dengan kehadiran Aminah kira-kira dua tahun lalu. Pada bulan Ramadan ini, Ogy yang turut merupakan penyanyi, pengarah dan produser memilih menghabiskan lebih banyak masa bersama Aminah.

Katanya, dia hanya terlibat dalam muzikal istimewa Aidilfitri 'Kecoh Petang Raya... Lagi!!! dan rakaman program hiburan 'Melodi Raya' terbitan TV3 pada bulan Ramadan ini.

"Hakikatnya saya telah mengurangkan jumlah lakonan pada setiap Ramadan sejak kembali dari tanah suci Mekah. Saya lebih memfokuskan masa dengan solat terawih serta mengkhatam Al-Quran untuk menambahkan kerohanian diri.

"Malah saya ingin menghabiskan lebih banyak masa dengan anak kesayangan saya, Nur Aishah Aminah," kata Ogy yang pernah memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem 'Ali Setan' dan 'Puteri'. Ogy juga pernah menjadi penyanyi popular satu ketika dulu. Antara lagu-lagu popular yang membuat namanya masih diingati sebagai penyanyi ialah 'Wajah Rahsia Hati', 'Bunga-Bunga Berguguran', 'Pelayaranku', 'Simfoni Kasih' dan 'Gerhana'.

Meskipun sering dipalit dengan pelbagai kontroversi, Ogy tidak patah semangatnya untuk terus mempamerkan bakat lakonan yang diwarisi daripada ibu bapanya.

"Saya tidak akan mensia-siakan apa-apa bakat yang Tuhan kurniakan kepada saya. Ini adalah periuk nasi saya dan saya akan terus berminat berlakon," tutur Ogy.

Antara kontroversi yang membuat Ogy rasa tertekan ialah ketika dia berlakon sebagai salah seorang Lembaga Suci dalam pementasan teater 'Intan Yang Tercanai' baru-baru ini.

Dia dikatakan berlagak diva kerana menggunakan bilik VIP sedangkan para pelakon lain seperti Juhara Ayub dan Norzizi Zulkifli menggunakan bilik bersolek biasa.

"Setahu saya, terdapat pihak yang suka sebar gosip untuk membuatkan saya berasa tertekan. Mereka tidak suka saya kerana barangkali berasa cemburu. Saya bersimpati dan akan memaafkan mereka yang berbuat demikian," katanya.

Ogy memberitahu dia memang terkejut dan hanya ketawa membaca laporan media tersebut. "Pihak media melaporkan saya adalah diva. Jika anda rujuk kepada Wikipedia, gelaran 'diva' adalah untuk penyanyi opera dan saya bukan merupakan penyanyi opera.

"Saya bukanlah diva seperti yang diwar-warkan. Kontroversi seperti ini karut sekali. Saya masih tidak dapat memahami kenapa saya boleh terlibat dalam kontroversi sedemikian," kata Ogy.

Ogy menjelaskan dalam teater 'Intan Yang Tercanai', dia telah dibawa ke bilik VIP untuk menyiapkan diri manakala Juhara dan Norzizi tetap memilih satu-satunya bilik solek sedia ada yang kecil itu.

"Banyak pelakon yang telah mengadu. Ustaz Haji Fadzil (lakonan Rasdi Daud) misalnya terpaksa menyalinkan pakaian di belakang pentas. Tempat menyangkut pakaian adalah tangga.

"Sesetengah pelakon pula terpaksa berlari ke luar dan di tingkat atas mencari bilik persalinan untuk menukar pakaian masing-masing. Kenapa saya pula yang dikatakan berlagak diva?" soal Ogy yang pernah membintangi filem 'Suara Kekasih'.

Ogy berkata kemungkinan pihak tertentu sengaja "mengenakannya" dalam beberapa insiden. Katanya, dia dikatakan tidak bergaul dengan para pelakon lain apabila duduk bersendirian dengan penolong peribadinya di tepi pentas sebelum pementasan bermula.

"Bersendirian pun dicakap orang lain.... Saya sebenarnya individu yang mencari ketenangan dan 'tenaga tambahan' sebelum lakonan ataupun pengacaraan bermula. Ini kerana saya akan memberikan fokus lebih daripada 100 peratus dalam kerja saya.

"Semasa mengacarakan Anugerah Bintang Popular dulu pun, rakan saya Raja Azura tahu saya akan mengasingkan diri sebelum acara bermula," jelasnya.

Dalam insiden lain, Ogy berkata: "Pada hari pertama pementasan 'Intan Yang Tercanai', ketika saya naik pentas dan semasa membuat ujian audio, saya telah di'boo' (diejek).

"Saya membiarkannya pada kali pertama. Pada kali kedua saya mengherdik: "Jika anda berani ke depan, sila tampil bersemuka dengan saya. Anda cuba berkelakar dengan saya?

"Selepas itu, seorang jurutera audio telah meminta maaf dan menjelaskan ejekan tersebut tidak datang daripada mereka berempat," kata Ogy yang tidak mengetahui siapakah dalang sehingga hari ini.

Selain itu, Ogy memberitahu dia terkilan kerana tudungnya terjatuh semasa pementasan teater berlangsung pada hari ketiga.

"Saya sangat kecewa. Tetapi sebagai seorang profesional, saya dapat menyembunyikannya dengan memfokus kepada persembahan saya ketika itu," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain